Friday, May 15, 2020

Terlalu baik sangka punca saya jadi mangsa pengkhianatan, kata Mukhriz

Adam Abu Bakar
-May 15, 2020 7:29 AM

Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir.

PETALING JAYA: Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir berkata, beliau mudah untuk menjadi mangsa pengkhianatan rakan disebabkan sikapnya yang terlalu mudah berbaik sangka terhadap individu yang mendampinginya.

“Saya antara orang selalu baik sangka. Saya tidak suka gaduh-gaduh, berkelahi dengan orang, tetapi kadang-kadang ada orang beritahu saya, atas sifat itu saya kerap menjadi mangsa pengkhianatan, seperti yang saya lalui kebelakangan ini,” katanya dalam Wacana Pasca Covid-19, di Facebook Live malam tadi.

Wacana yang turut menampilkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari itu disiarkan secara langsung di laman Facebook Pakatan Harapan, DAP dan Dapsy.

Menurut Mukhriz, pengkhianatan dilakukan rakan yang dianggapnya seperti keluarga secara tidak langsung akan memberi kesan terhadap keyakinan diri dan menyebabkan beliau sukar mempercayai orang lain.

“Bayangkanlah bagaimana hendak berinteraksi dengan orang lain, meluaskan hubungan persahabatan dengan orang baru dikenali.

“Sekarang ini kita melalui keadaan di mana rakan seperjuangan boleh tikam belakang. Jadi bila jumpa orang baru, sudah tentu ada sifat was-was,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan dibangkitkan moderator, timbalan ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH) Howard Lee mengenai situasi di negeri Kedah, yang menurutnya berada dalam keadaan kurang stabil susulan percaturan politik dan usaha merampas kuasa pentadbiran.

Sebelum ini, Mukhriz berkata beliau masih merupakan menteri besar Kedah, di sebalik kenyataan demi kenyataan menyatakan beliau sudah kehilangan sokongan majoriti.

Menurut Mukhriz, beliau akan terus menggalas jawatan itu, sehingga usul tidak percaya diluluskan di Dewan Undangan Negeri.

Terdahulu, Perikatan Nasional (PN) Kedah mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baru selepas mendapat sokongan 23 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) termasuk daripada PPBM.

Ketua pembangkang DUN Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, 23 Adun terbabit adalah 15 daripada PAS, PPBM (4), Umno (2) dan 2 bekas Adun PKR.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-