Tuesday, May 12, 2020

Undi tak percaya terhadap PM lebih kepada sifat rakus nak kuasa

Tun M, Anwar seperti mempersoal keputusan Agong lantik Muhyiddin
fazleensafina

BANGI, 18 Ramadan 1441H, Isnin – Rakyat sudah mual dengan perebutan kuasa antara ahli politik, sehingga langsung tidak memikirkan situasi negara yang berdepan pandemik COVID-19, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya.

Beliau berkata, rakyat mahukan kehidupan sihat dan ekonomi kembali pulih, bukannya mahu melihat pemimpin negara mengejar pangkat dan kuasa untuk tujuan peribadi.

“Apa yang Dr Mahathir dan Anwar lakukan ketika ini hanya mengakibatkan isu kepimpinan negara kembali bergolak dan akan merencatkan pemulihan ekonomi, “ katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan, Tun Dr Mahathir Mohamed dan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak mengiktiraf kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mendakwa ia tidak mendapat mandat rakyat.

Dalam kenyataan bersama, Ahli Parlimen Langkawi dan Ahli Parlimen Port Dickson itu menyatakan prinsip mereka jelas dari hari pertama kerajaan Pakatan Nasional (PN) ditubuhkan, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat.

Katanya, PN tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi di dalam pilihan raya.

“Sebaliknya ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah, tidak ada satu pun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat.

“Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini.

“Kami tidak ingin mengkhianati rakyat yang menghabiskan berjam-jam untuk beratur di pusat mengundi, beratus ringgit untuk terbang pulang mengundi, mengambil cuti tanpa gaji untuk membawa suara mengubah nasib negara,” menurut kenyataan itu.

Menempelak perkara itu, Haji Aminuddin percaya tindakan kedua-dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu tidak memberi sebarang manfaat untuk sesiapa pun.

Apa yang mereka lakukan bukan untuk kepentingan rakyat, sebaliknya hanya didorong oleh sifat rakus kepada kuasa yang tiada pengakhiran.

Beliau berkata, sekiranya mereka menang undi tidak percaya terhadap Muhyiddin, Parlimen berkemungkinan dibubar dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) juga akan diadakan.

“Kita tahu dengan sentimen sekarang, kemungkinan PH untuk menang agak sukar selagi mereka bersekongkol dengan DAP,” katanya.

Selain itu, Haji Aminuddin turut menyifatkan tindakan kedua-dua pemimpin berkenaan seolah-olah mempersoal keputusan Yang Di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri, yang jelas tidak dapat diterima oleh rakyat terutamanya orang Melayu.

“Betulkah kita rasa kerajaan sekarang tidak sempurna, kerana muka-muka lama masih ada, tetapi sekurang-kurangnya DAP sudah tiada untuk mempersoalkan hak Melayu dan agama Islam.

“Kita hanya perlu tunggu sahaja PRU15 akan datang untuk kembali memberikan mandat rakyat untuk memilih. Sama ada Dr Mahathir dan Anwar masih sempat, itu berdoa sahaja kepada Ilahi,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-