Sunday, July 5, 2020

UMNO, Pas bertemu bentuk jawatankuasa Muafakat Nasional peringkat negeri

UMNO, Pas bertemu bentuk jawatankuasa Muafakat Nasional peringkat negeri

BIAR pun telah mempunyai gabungan dan kerjasama dalam Perikatan Nasional, dua parti terbesar orang Melayu dan Islam, UMNO dan Pas terus memperkukuhkan jalinan dalam Muafakat Nasional.

Kepimpinan kedua-dua parti itu yang mewakili setiap negeri dilaporkan hadir bertemu dan berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurut Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, pertemuan itu bagi merealisasikan pembentukan Jawatankuasa Muafakat Nasional Peringkat Negeri-negeri dan Bahagian-bahagian seluruh Malaysia yang tertangguh hampir 5 bulan lantaran pandemik Covid-19.

“Mudah-mudahan dengan pembentukan jawatankuasa ini akan memperkukuhkan lagi kesefahaman dan kesepakatan gerak-kerja bukan sahaja di peringkat atasan tetapi lebih mustahak hingga ke peringkat akar-umbi,” kata Asyraf Wajdi.

Turut hadir Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Pas Datuk Takiyuddin Hasan dan Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sementara itu menurut Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar, pertemuan itu, meriah dan ceria bila warna merah dan hijau digabungkan.

“Apatah lagi kalau digabungkan dalam satu gerak kerja politik. Saya berkongsi beberapa perkara yang perlu dititikberat oleh semua pihak. Kalau yang pernah tengok sesi live fb saya di Umno Online tempohari bersama Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Dr . Yunus mungkin ramai sedar gerak kerja MN di Selangor sudah bermula,” kata Noh.
Piagam Muafakat Nasional dimeterai UMNO dan PAS pada 14 September tahun lalu. Selain UMNO, Muafakat Nasional turut disertai parti komponen dalam Barisan Nasional iaitu MCA dan MIC.

Piagam itu antara lain menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan negara, Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum lain, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

Kerjasama Muafakat Nasional menampakkan hasil dalam memenangi enam pilihan raya kecil termasuk Pilihan Raya Kecil DUN Chini semalam yang turut dibantu oleh rakan dalam Perikatan Nasional.

-SM

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-