Monday, January 25, 2021

Anwar ulangi desakan sidang khas Parlimen atas persetujuan Agong

FMT Reporters
-January 25, 2021 5:10 PM

Anwar Ibrahim mendakwa kerajaan PN cuba melambatkan sidang Parlimen berkali-kali tahun lalu dalam usaha mengelakkan cubaan untuk mencabar majoriti mereka yang ‘sebenarnya tidak wujud’.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim sekali lagi mendesak sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan beberapa isu untuk menangani Covid-19.

Beliau berkata, sidang khas itu perlu mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah.

“Memungkinkan kebijakan yang munasabah, rasional dan yang membawa aspirasi kepentingan rakyat Malaysia.

“Bukan kepentingan mereka yang terdesak untuk terus berpaut pada kuasa dan kedudukan,” katanya dalam kenyataan.

Sabtu lalu, Anwar mendakwa 114 atau 115 Ahli Parlimen menolak usul darurat daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya, jumlah itu mencukupi dan meminta Agong mempertimbangkan usul itu serta memanggil sidang Parlimen dengan segera.

Hari ini, Anwar mendakwa kerajaan PN cuba melambatkan sidang Parlimen berkali-kali tahun lalu dalam usaha mengelakkan cubaan untuk mencabar majoriti mereka yang “sebenarnya tidak wujud”.

Disebabkan itu, katanya, rakyat menderita kerana lewat mendapat bantuan kewangan di bawah pakej rangsangan ekonomi.

“Tahun ini, kerajaan PN berhasrat mengelak sidang Parlimen lagi sekali, menyorok di belakang perisytiharan darurat.

“Kesannya nanti pasti akan memanjangkan penderitaan rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau menjangkakan banyak syarikat akan gulung tikar, jika perintah kawalan pergerakan (PKP) lebih ketat dilaksanakan tanpa bantuan kewangan munasabah kepada peniaga serta keluarga memerlukan.

Tanpa rancangan jelas dalam mengekang pandemik itu, katanya, rakyat perlu menghadapi bersendirian sehinggalah vaksin tiba.

“Khabarnya kita harus menunggu lagi 15 bulan dari sekarang untuk menerimanya.

“Ini masa untuk kerajaan berbelanja lebih dan bantu syarikat, lantas ia secara tidak langsung akan membantu mengawal dampak wabak.”

Presiden PKR itu berkata, skim subsidi upah juga perlu diperluaskan dan dilaksanakan dengan berkesan, serta geran cukai mesti diberikan untuk syarikat menambah baik kuarters dan asrama pekerja.

“Ujian (saringan) besar-besaran mesti dilaksanakan segera dan dibiayai, atau sekurang-kurangnya dibiayai separuh oleh kerajaan.

“Kita harus juga mengakui sebelum zaman pandemik ini, syarikat-syarikat ini telah membayar cukai secara konsisten kepada kerajaan sebanyak RM70 bilion setahun.”

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-