Tuesday, January 26, 2021

Jurang Perbezaan Makin Ketara Dalam UMNO

BERITA
By MT Webmaster On Jan 25, 2021

(Sinar Harian) – Sejak seminggu lalu, polemik surat tuntutan sidang Parlimen khas diutuskan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi membincangkan hal pelaksanaan darurat sememangnya menjadi buah mulut rakyat.

Pelbagai telahan dan dakwaan yang timbul. Ada yang berkata surat itu didalangi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengangkat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri kerajaan baharu.

Ada juga yang mendakwa surat itu tidak mewakili suara parti.

Tidak kira apa jua alasan, isu surat itu boleh dianggap rentetan episod kegagalan pucuk kepimpinan UMNO memaksa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur dan menggesa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) disegerakan.

Lebih parah, gerakan terbaharu itu gagal mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen UMNO, sekali gus memberi isyarat bahawa Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi seolah-olah semakin hilang cengkaman dalam parti sendiri.

Bagi Setiausaha Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub, kegagalan Ahmad menggunakan platform yang betul bagi menyampaikan cadangan beliau menyebabkan pucuk kepimpinan UMNO seolah-olah dipinggirkan sebilangan besar daripada 41 ahli Parlimen parti itu ketika ini.

Menurutnya, dalam sesebuah organisasi, seorang Presiden dan Setiausaha Agung berhak menggunakan kuasa prerogatif mereka untuk menyampaikan sebarang cadangan atau inisiatif terus kepada ahli organisasi selagi mana ia tidak menyalahi perlembagaan organisasi.

Silap langkah

“Saya merasakan ia merupakan cadangan peribadi Ahmad yang mungkin juga tidak dirujuk kepada Presiden UMNO.

“Tiada masalah seorang Setiausaha Agung UMNO mengeluarkan kenyataan dan bertindak atas inisiatif sendiri selagi mana tidak bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Namun tindakan sebegitu akan mendatangkan risiko besar untuk tidak dipatuhi, sekali gus menimbulkan salah tafsir dalam kalangan ahli Parlimen UMNO sendiri,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mustapha juga mengakui sebilangan besar rakyat kini melihat surat berkenaan sebagai salah satu langkah terdesak UMNO untuk menggulingkan Muhyiddin.

Bagaimanapun, beliau menegaskan tindakan itu sebenarnya hanya satu kesilapan langkah yang dibuat Ahmad kerana beliau sepatutnya membawa cadangan tersebut ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk dibincangkan.

“Ia satu tindakan yang boleh disalah tafsir oleh umum, maka orang melihat pucuk kepimpinan UMNO sudah tidak ada grip terhadap ahli Parlimen parti itu.

“Sepatutnya biarlah keputusan sebesar itu dibuat dalam mesyuarat MKT kerana ia melibatkan strategi parti dan bukan perkara dasar,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Jalaluddin Alias menganggap Ahmad selaku Setiausaha Agung UMNO perlu bertanggungjawab di atas tindakan mengeluarkan surat berkenaan.

Menolak dakwaan pendirian ahli-ahli Parlimen UMNO dan pucuk kepimpinan parti kini semakin bertentangan, Jalaluddin menegaskan tindakan terbaharu Ahmad dilakukan secara bersendirian tanpa berunding di peringkat dalaman.

“Setahu saya, surat itu tiada kena-mengena dengan bidang kuasa Presiden, bahkan tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Biro Politik UMNO, apatah lagi mesyuarat MKT.

“Saya secara peribadi tidak bersetuju kerana langkah sebegini tidak sepatutnya berlaku.

“Setiausaha Agung parti kena bertanggungjawab untuk beri penjelasan kepada semua ahli parti. Pendekatan isu besar sebegini tidak boleh dibuat secara one man centered decision,” katanya.

Bersetuju atau tidak, pendedahan Jalaluddin secara tidak langsung mengesahkan jurang perbezaan pendirian pucuk kepimpinan UMNO dan ahli-ahli Parlimen parti itu yang cenderung menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), semakin ketara.

Pada saat PRU15 dijangka diadakan sebaik sahaja tempoh darurat berakhir, parti terbesar Melayu itu pastinya tidak mahu jurang perbezaan berkenaan semakin membarah, sekali gus mengakibatkan berlaku perpecahan dalaman serius.

Pandangan itu, dipersetujui penganalisis politik dari Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin.

Beliau menjelaskan Ahmad Zahid kini mempunyai tanggungjawab besar untuk membetulkan keadaan atau beliau sendiri berkemungkinan ditukar akar umbi UMNO dalam masa terdekat.

“Dengan Pas dan Bersatu sudah mempunyai kedudukan unik untuk memastikan dominasi politik Melayu Islam dapat dikekalkan menjelang PRU15. Adalah satu risiko besar bagi UMNO sekiranya mereka menolak kerjasama dengan parti-parti berkenaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-