-January 16, 2021 12:26 PM
Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berdepan pertuduhan rasuah, pecah amanah jenayah, dan pengubahan wang.
PETALING JAYA: Ketua PPBM Kepong, Norizan Ali berkata, pemimpin Umno yang berdepan kes mahkamah perlu mencontohi Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, yang sebelum ini pernah menghadapi perbicaraan di mahkamah.
Norizan berkata, presiden PKR itu bukan sahaja bersedia menjalani perbicaraan di mahkamah, malah turut bersedia dipenjarakan, lapor akhbar Sinar Harian
Katanya, keyakinan dan ketabahan Anwar adalah sebab utama beliau dan PKR masih mendapat sokongan pengundi pada pilihan raya umum lalu (PRU14).
Norizan berkata, pemimpin Umno terbabit harus berusaha membersihkan nama mereka melalui proses undang-undang, bukannya membuat ancaman politik kerana ia hanya akan memalukan parti itu.
“Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini yang ditunjangi PPBM pimpinan Muhyiddin dibentuk semata-mata untuk kepentingan Melayu dan Islam serta menyelamatkan negara.
“Kerajaan ini tidak dibentuk untuk menyucikan dosa-dosa pemimpin Umno yang masih ada kes mahkamah atas pelbagai kesalahan yang mereka lakukan sebelum ini,” katanya menurut laporan itu lagi.
Norizan menggesa pemimpin Umno supaya menyahut seruan Muhyiddin untuk bekerjasama dalam memulihkan negara ini tanpa sebarang agenda peribadi.
“Seperti mereka selalu sebut berjuang untuk agama, bangsa dan negara. Inilah masanya pemimpin Umno, termasuk yang ada kes mahkamah, untuk membuktikan kata-kata tersebut, bukannya berjuang untuk membebaskan diri daripada masuk penjara.”
Enam pemimpin Umno yang juga Ahli Parlimen kini berdepan perbicaraan atau membuat rayuan terhadap sabitan, termasuk Najib Razak, Ahmad Zahid Hamidi, Ahmad Maslan, Tengku Adnan Tengku Mansor, Azeez Abdul Rahim, dan Bung Moktar Radin.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.