Sunday, January 10, 2021

UMNO Berdepan Perpecahan? Wujud Team A Dan Team B

BERITA
By MT Webmaster
On Jan 10, 2021

(Ismaweb) – Tidak dapat dinafikan UMNO kini sedang berdepan dengan masalah besar apabila wujud dua kumpulan dalam parti yang ditubuhkan pada tahun 1946 itu.

Satu kumpulan menyokong kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang baru-baru ini bertindak radikal memecat Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa setelah didakwa cenderung kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Manakala, satu lagi kumpulan adalah mereka yang mahu melihat parti berteraskan Melayu itu dibersihkan daripada pemimpin terpalit dengan masalah integriti dan rasuah.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali mendakwa, permasalahan di dalam UMNO bertitik tolak daripada sokongan diberikan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan September lalu sebelum didedahkan Annuar yang nyata bertentangan dengan dasar parti ‘No Anwar, No DAP’.

Dakwanya, perkara menjadi lebih menarik apabila Datuk Seri Najib Razak menegur kenyataan Annuar supaya tidak membuat sebarang komen berbentuk fitnah.

“Ini sebenarnya bukan lakonan tetapi respons kepada situasi yang berlaku. Sekarang ini kita nampak macam ada pembelahan dalam UMNO.

“Kita dapat tengok sekarang Datuk Mohamad Hassan dan Annuar Musa semakin dekat sebagai calon Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.

“Sebagai pemerhati memang ada perpecahan dalam UMNO, pecahan-pecahan mereka yang berbeza pandangan,” dakwanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Dr Mazlan tidak menolak kemungkinan pemimpin UMNO yang tersepit dan berdepan dengan masalah akan bersama untuk terus menerajui parti serta menghalang sebarang cubaan untuk mentransformasi parti tersebut.

Beliau mendakwa, ada pandangan dalam UMNO melihat era Ahmad Zahid serta Najib sudah berakhir, dan mereka tidak sepatutnya bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Ada team A, team B dalam UMNO. UMNO akan dipulihkan melalui calon-calon yang bersih tetapi kumpulan-kumpulan yang ada ‘kes’ memiliki pengaruh besar dalam UMNO.

“Mereka tidak akan mudah membiarkan semua berlaku. Jadi sekarang ini UMNO sudah pecah dua, kita tidak boleh nafikan,” dakwanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-