
Bekas pengerusi Felda, Isa Samad tiba di mahkamah pagi tadi.
KUALA LUMPUR : Bekas Pengerusi Felda Isa Samad dihukum penjara enam tahun, dan denda RM15.45 juta selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah membabitkan RM3 juta.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman itu setelah mendapati Isa bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah melibatkan RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.
Nazlan memerintahkan hukuman penjara berjumlah 54 tahun dan denda RM15.45 juta tetapi Isa, 71, hanya perlu menjalani penjara selama enam tahun kerana hukuman penjara itu berjalan serentak.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 18 tahun jika gagal membayar denda berkenaan.
Dalam menjatuhkan hukuman itu, Nazlan berkata rasuah adalah “barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.”
“Mahkamah mengambil maklum latar belakang tertuduh dan rekod pentadbiran serta penglibatannya dalam politik negara di mana tertuduh telah berkhidmat sebagai menteri besar (Negeri Sembilan) selama dua dekad dan juga sebagai menteri kabinet.
“Kesalahan berkaitan rasuah adalah serius yang menggugat ekonomi negara dan merupakan barah yang menjejaskan sistem demokrasi negara.
“Oleh itu, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara enam tahun bagi setiap pertuduhan dihadapi tertuduh dan memerintahkan hukuman berjalan serentak.
“Mahkamah juga mengenakan denda lima kali jumlah suapan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjumlah RM15.45 juta dan sekiranya gagal membayar denda dikenakan penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan,” kata hakim itu.
Dalam penghakimannya, Nazlan berkata mahkamah mendapati pembelaan defendan terhadap sembilan tuduhan rasuah itu sebagai sesuatu yang difikirkan kemudian.
Isa dituduh menerima RM3.09 juta dalam sembilan transaksi, antara Julai 2014 hingga Disember 2015.
Wang itu dibayar ahli perniagaan Sarawak, Ikhwan Zaidel kepada Isa kerana meluluskan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites oleh Felda Investment Corporation. Wang itu kemudian diserahkan kepada Isa menerusi bekas pembantunya Muhammad Zahid Md Arip.
“Memang benar tiada sesiapa menyaksikan penyerahan itu. Zahid dalam keterangannya berkata, wang itu diserahkan kepada tertuduh secara rahsia.
“Keterangan oleh saksi pembela seperti bekas setiausaha tertuduh (Zuraida Ariffin @ Shaari) dan pengawal peribadi (Kamar Bashah Shariff) juga tidak membantu kes pembelaan.
“Setiausaha itu mungkin tidak melihat Zahid berjalan masuk ke bilik tertuduh dengan memegang sesuatu, dan pengawal peribadi itu juga tidak semestinya memeriksa beg tertuduh pada penghujung hari,” kata Nazlan.
Berhubung keterangan seorang lagi saksi pembela, Mohamad Jani Ismail yang mendakwa mendengar Zahid ‘mengaku’ menerima habuan RM2 juta malah mengesahkan akuan berkanun (SD) mengenai kejadian itu, Nazlan berkata SD berkenaan hanya disahkan setahun selepas pertemuan itu didakwa berlaku.
“SD itu hanya timbul ketika soalan utama oleh pihak pembela tetapi tidak pernah dibangkitkan dalam kenyataan saksinya.
“Pada saya pelik kenapa saksi tidak melaporkan ‘pengakuannya’ kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) sebaik pertemuan selesai pada Jun 2018 kerana ketika waktu material itu, siasatan masih berlangsung,” katanya sambil menambah Isa hanya didakwa di Mahkamah Sesyen pada Disember tahun sama.
Nazlan juga berkata, mahkamah menolak dakwaan Isa bahawa Zahid mahu mengaitkannya dalam pembelian hotel itu untuk mengelakkan pendakwaan.
“Saksi (Zahid) bekerja dengan tertuduh dari 2011 hingga 2016 dan sepanjang enam tahun bersamanya, ada pertikaian antara mereka berhubung isu kerja.
“Kontrak saksi ditamatkan selepas tertuduh menuduhnya pengkritik lantang kerajaan ketika itu yang menunjukkan sokongan untuk pembangkang.
“Tiada sebab untuk saksi mengaitkannya sebegitu,” katanya.
Sementara itu, mengulas perbualan dikatakan antara Isa dan Zahid di ibu pejabat SPRM beberapa bulan sebelum Isa didakwa, Nazlan berkata Isa tidak mengambil langkah memaklumkan penyiasat SPRM berhubung ‘pengakuan’ Zahid itu.
Isa sebelum ini memberitahu mahkamah, dia menemui Zahid dua kali pada 2018 iaitu ketika satu majlis pengebumian dan di SPRM Putrajaya, di mana Zahid mendakwa tertekan ketika ditahan reman kerana diletakkan dalam lokap berhantu menyebabkannya tiada pilihan selain mengaitkan Isa.
“Bagaimanapun, pembelaan tidak menyoal balas Zahid mengenai dua perjumpaan itu, atau memanggil saksi bagi menyokong keterangannya,” kata Nazlan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.