Adam Abu Bakar
-March 4, 2021 4:33 PM
Annuar Musa berkata, walaupun tidak mempertikaikan keputusan dibuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu, beliau percaya ia keputusan yang masih terlalu awal dibuat.
KUALA LUMPUR: Serah pada Umno tempatan untuk membuat keputusan sama ada mahu meneruskan atau tidak kerjasama dengan PPBM, kata bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Annuar Musa.
Beliau percaya tidak semua keputusan ditetapkan Umno Pusat berhubung langkah memutuskan kerjasama dengan parti pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin itu pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), akan disambut baik di peringkat negeri dan bahagian.
“Saya fikir, negeri dan bahagian mereka ada hak masing-masing. Kalau tanya saya, saya di Ketereh, Kelantan saya hendak bekerjasama dengan semua sebab saya wakil rakyat di situ. Di tempat saya ada PAS dan PPBM.
“Sampai sekarang saya berpegang bahawa semua orang PAS, Umno dan PPBM dan parti lain dalam Parlimen Ketereh mahu kerjasama ini diteruskan. Ini masing-masing punya pendirian,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata, keputusan dibuat Umno atas permintaan Muhyiddin, yang menggesa parti itu memberi kata putus berhubung kerjasama antara dua parti berkenaan pada PRU15.
Ahmad berkata, Muhyiddin mahukan kata putus daripada Umno sebelum rundingan pengagihan kerusi PRU15 diteruskan. Malah, turut memaklumkan keputusan itu dicapai selepas mengambil kira pandangan akar umbi.
Annuar berkata, walaupun tidak mempertikaikan keputusan dibuat Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi berhubung perkara itu, beliau percaya ia keputusan yang masih terlalu awal dibuat.
“Kalau kata Umno tidak lagi bekerjasama dengan PPBM, yang hendak kena laksanakan itu adalah 22,000 cawangan Umno seluruh negara. Jadi, keputusan ini tidak boleh dirahsiakan. Takkanlah surat itu hanya antara presiden Umno dan PPBM.
“Alhamdulillah, sekarang semuanya sudah jelas. Soal sama ada keputusan itu betul atau tidak, itu adalah pendapat masing-masing. Kalau tanya saya, tidak perlu cakap sekarang kerana PRU tidak tahu bila, kalau ikutkan tempoh penggal 2023 kelak,” katanya.
Beliau percaya, sebarang kemungkinan boleh berlaku dalam politik dan pada masa sama berharap keputusan Umno Pusat tidak menjejaskan suasana bekerja wakil rakyat dan ahli parti yang ketika ini dalam usaha menolong rakyat.
“Dalam konteks politik, saya berharap ini tidak jejaskan perpaduan sebab negara ini memerlukan kestabilan. Jika saya, saya utamakan kerjasama tidak kira siapa parti apa, serta jangan ada permusuhan dalam musim-musim ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.