Friday, April 16, 2021

Khalid ke Istana lagi, kali ini akan membawa Tun M dan Anwar

Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON
April 16, 2021


Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan ke Istana Negara sekali lagi pada 20 April depan bagi menghantar surat permohonan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah buat kali kedua.

Ini susulan permohonannya menerusi Jawatankuasa Tamat Darurat pada 26 Mac lalu untuk menghadap Agong masih belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak istana.

Bagaimanapun katanya, sesi penyerahan surat permohonan kali ini akan disertai Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad dan ketua parti dari blok pembangkang

“Kali ini, saya dan Jawatankuasa telah menjemput bekas Perdana Menteri Tun Mahathir, Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden AMANAH Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk bersama-sama ke Istana Negara.

“Apabila mendapat tarikh menghadap, kami semua akan ke Istana Negara bagi mempersembahkan rayuan dan petisyen untuk merayu kepada Tuanku bagi memperkenankan agar darurat ditamatkan.

“Ini kerana jelas terbukti darurat merosakkan ekonomi negara dan tidak diperlukan untuk malawan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 26 Mac lalu, Khalid selaku Pengerusi jawatankuasa tamat darurat telah menyerahkan surat kepada pihak istana untuk memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 9 April.

Beliau berkata, majlis menghadap itu bagi menyampaikan hasrat rakyat kepada Al-Sultan Abdullah supaya darurat dapat ditamatkan segera.

Petisyen yang digerakkan tamatdarurat.com sehingga hari ini mengumpul hampir 20,000 tandatangan rakyat Malaysia yang membantah pengisytiharan darurat.

“Untuk pengetahuan semua, saya dan Jawatankuasa Tamat Darurat telah menghantar surat kepada Istana Negara pada 26 Mac 2021 untuk memohon perkenan Baginda bagi menyerahkan rayuan itu.

“Ketika itu kami memohon tarikh 9 April 2021 atau lain-lain tarikh yang sesuai untuk menghadap Yang Dipertuan Agong bagi menyerahkan petisyen dan rayuan itu.

“Namun sehingga kini, kami belum mendapat sebarang maklum balas dari pihak Istana Negara,” katanya.

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-