Wednesday, April 21, 2021

Persoal darurat, Tun M didakwa masih gila kuasa?

ismaweb.net

Memang darurat menyusahkan tapi tidak sampai mahu derhaka kepada Agong


BANGI, 9 Ramadan 1442H, Rabu – “Benarkah majoriti orang Melayu benar-benar marah kepada raja-raja Melayu khususnya kepada Yang di-Pertuan Agong?

“Atau sebenarnya hanya Tun M seorang bersama beberapa kerat daripada kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang gila kuasa sahaja, mahu merampas semula kuasa daripada kerajaan yang dikatakan ‘tebuk atap’?”

Demikian persoalan dilontarkan Ketua Komunikasi dan Multimedia Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Rashidi Haris berhubung Perisytiharan Proklamasi Darurat yang didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad sedikit sebanyak telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan orang Melayu.

Menurut bekas Perdana Menteri itu, orang Melayu mula meluahkan perasaan marah di laman media sosial kerana mendakwa mereka mula menderita akibat pelaksanaan Proklamasi Darurat.

“Orang Melayu biasa tidak akan derhaka kepada raja tetapi sekarang orang Melayu mula berasa marah kepada istana.

“Kita dapat mengikuti (berhubung perkara ini) di media sosial. Ini sangat luar biasa untuk orang Melayu, untuk menentang pemerintah kita,” katanya.

Berikutan itu, Haji Rashidi menyifatkan dakwaan Dr Mahathir yang seolah-olah mahu menyalahkan orang Melayu sebagai aneh.

“Memang darurat ini menyusahkan tetapi tidaklah sampai mahu menderhaka kepada YDPA.

“Kerana rakyat tahu tindakan sewajarnya dilakukan saat pandemik COVID-19 ini sedang menular dalam negara ialah ketegasan mematuhi SOP mengikut nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Haji Rashidi yang juga Ketua Aktivis Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT) meminta rakyat peka dan tidak cepat melatah dengan provokasi Dr Mahathir yang bijak membuat persepsi pelbagai dan memanipulasi suasana politik.

“Pihak Istana pula perlu memberikan perhatian sewajarnya terhadap konflik politik negara hari ini, jangan diabaikan kerana ia sedikit sebanyak boleh memberi kesan terhadap institusi raja-raja Melayu ini,” sarannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-