Sunday, May 2, 2021

Katil ICU rawat pesakit Covid-19 hampir kehabisan

hmetro.com

Suraya Roslan
suraya@hmetro.com.my

KEADAAN di ICU yang menempatkan pesakit Covid-19 semakin membimbangkan. FOTO ihsan FB Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Kuala Lumpur: Kadar penggunaan katil rawatan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 hospital di Lembah Klang secara purata mencapai 90 peratus pada hari ini dan melebihi ambang amaran.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, lebih 20 kes dirujuk ke ICU setiap hari dalam tempoh satu minggu manakala 63 pesakit ICU dengan lebih 25 pesakit kritikal untuk dipantau di wad biasa dan Jabatan Kecemasan di Hospital Sungai Buloh.

Dr Noor Hisham turut berkongsi video suasana pesakit kritikal Covid-19 di ICU Hospital Sungai Buloh, hari ini yang menggunakan ventilator.

Beliau turut menekankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini hampir kekurangan katil di hospital kendalian mereka ketika ini.

"Berkongsi pesakit Covid-19 yang kritikal di ICU Hospital Sungai Buloh.

"Kami hampir kehabisan katil. Jaga diri dan kekal selamat," tulisnya di Facebook rasminya hari ini.

Selain itu, Dr Noor Hisham turut berkongsi berdasarkan statistik yang dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan, sebanyak enam hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal atau ICU dikhususkan untuk merawat pesakit Covid-19 didapati melebihi ambang amaran dengan kadar penggunaan katil melebihi 70 peratus.

"Hospital berkenaan ialah Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang yang mana ada di antaranya sudah pun menghampiri 100 peratus.

"Bagi Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal atau ICU Covid-19 pada kadar melebihi 50 peratus," katanya.

Menurutnya, Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital Covid-19 akan meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal atau ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat.

"KKM sudah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak 2020 bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil rawatan kritikal apabila terdapat keperluan mendesak.

"Pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan Covid-19.

"Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit Covid-19," katanya.

Menurutnya, KKM juga akan terus bekerjasama dengan hospital swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil kritikal.

"Ini termasuk penyumberluaran pesakit bukan Covid-19 bagi kes dan prosedur tertentu untuk dirawat di hospital swasta dengan kos ditanggung oleh kerajaan pada caj rawatan yang telah dipersetujui.

"Penyumberluaran ini telah pun dilaksanakan sejak gelombang kedua pada 2020 dan masih diteruskan sehingga kini," katanya.

Katanya, sekiranya trend peningkatan kes Covid-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

"Masyarakat diseru untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat kesihatan yang sering ditekankan KKM bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

"Tahap pematuhan 100 peratus semua pihak amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini," katanya.

Lagi berita berkaitan Covid-19
Disiarkan pada: Mei 2, 2021 @ 10:59am

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-