Thursday, June 24, 2021

Cukup-Cukuplah Zahid Heret UMNO Sokong Cikgunya, Buat Pemilihan Segera

 BERITA

By MT Webmaster 
On Jun 23, 2021


(Agenda Daily) – Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi diingatkan rakan pemimpin senior dalam parti, Datuk Seri Nazri Aziz supaya berhenti daripada mengheret parti itu untuk menyokong Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga dianggap sebagai cikgunya.

Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, keputusan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 telah membuat keputusan bahawa tiada kerjasama dengan Anwar, maka Zahid wajar patuh akan arahan berkenaan dan bukan bertindak sebaliknya bertentangan dengan hala tuju parti.

“Dia (Zahid) hendak bekerjasama dengan Anwar dan DAP, walhal dalam PAU kita sudah putuskan NO Anwar, NO DAP, jelas.

“Jadi dia kena ikutlah keputusan PAU mana boleh buat perkara yang bertentangan dengan PAU, dia Presiden parti,” katanya kepada Agenda Daily.

Jelasnya, Zahid sebagai presiden sepatutnya mempertahankan keputusan PAU, bukan mengheret parti itu untuk menyokong Ketua Pembangkang sebagai calon Perdana Menteri (PM).

“Kalau dia nak kerjasama dah langgar keputusan parti. Lagi satu mana boleh beritahu Anwar bahawa keputusan PAU itu taktikal sahaja, kata Anwar itu cikgunya.

“Jadi macam mana kita hendak percaya akan dia, jelas dia berkiblatkan kepada Anwar, susah lah macam itu,” katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau dan sebilangan besar pemimpin Barisan Nasional (BN) akan berpegang kepada keputusan PAU bahawa akan terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) sehingga menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

“Kita tidak boleh putus hubungan sekarang, tidak boleh sebab PAU kata PRU15, kalau biro politik buat keputusan menyatakan bahawa selepas 14 hari Parlimen tidak bersidang saya tak tahu tindakan apa selepas itu.

“Kalau tindakan suruh keluar saya tak akan keluar sebab saya pegang kepada keputusan PAU,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, tegasnya bagi memastikan UMNO kembali stabil, Nazri mencabar supaya Zahid menyegerakan pemilihan parti dan kembali bertanding.

“Dia punya tempoh pegang jawatan sebagai presiden sudah hendak tamat tempoh, habis bulan Jun ini jadi dia tak boleh berniat untuk memanjangkan masa.

“Dia kena fikir kita kena buat pertandingan sekarang untuk memilih presiden baharu dia lawanlah kalau nak lawan, saya rasa sebaik-baiknya Majlis Tertinggi UMNO cadangkan selepas Covid-19 reda adakan pemilihan segera sebab dia punya kepimpinan tidak boleh dipercayai lagi,” katanya.

Terdahulu, Nazri juga mendedahkan menggerakan satu lagi langkah mengumpulkan SD daripada Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dan setakat ini berjaya mendapatkan tandatangan 25 daripada 41 wakil rakyat BN untuk menyokong Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-