Sunday, June 13, 2021

PKP 3.0 hanya akan dikaji semula jika kes sudah turun bawah 4,000

inforakyat.net
13/06/2021 2:30 PM


Kerajaan akan menilai semula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 sejak 1 Jun lalu jika jumlah jangkitan harian COVID-19 negara ini mencapai angka bawah 4,000 kes.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan risiko jangkitan harian seluruh negara dapat diturunkan.

“Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, memaklumkan apabila jumlah jangkitan harian negara turun kepada 4,000 barulah PKP 3.0 akan dikaji semula.

“Bukan bermakna kita tamatkan PKP 3.0, tetapi kita kaji semula dari segi pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) sama ada ia boleh dilonggarkan sedikit.

“Saya tak janji longgarkan (PKP 3.0) tetapi ia semua bergantung pada nasihat KKM menerusi penilaian risiko yang dibuat,” katanya.

Ismail Sabri mengulas saranan pakar kesihatan dan persatuan perniagaan supaya kerajaan tetapkan angka petunjuk atau indikator untuk tentukan tempoh pelaksanaan PKP 3.0 boleh ditamatkan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Hospital Medan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Dr Adham; Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad, Dr Noor Hisham dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Dr Zulkeffeli Mat Jusoh.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, KKM akan menilai risiko dan menasihati Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam mesyuarat khas MKN apabila jangkitan harian turun kepada 4,000 kes.

Katanya, beliau berharap menjelang minggu hadapan jumlah jangkitan harian akan menurun di bawah 4,000 kes sehari berikutan pelaksanaan PKP 3.0.

“Ini kerana impak PKP 3.0 yang kita laksanakan sejak 1 Jun lalu hanya akan kita nampak hasilnya selepas esok atau dalam tempoh 14 hari pelaksanaannya.

“Kita berdoa supaya lepas esok kes menurun sehingga 4,000 supaya kita boleh kaji semula PKP 3.0.

“Bukan untuk tamatkan PKP 3.0 tetapi kaji semula SOP yang diperketatkan,” katanya.

Berita penuh : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/06/827264/pkp-30-dikaji-jika-kes-harian-turun-bawah-4000

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-