-October 4, 2021 11:00 AM
![](https://s3media.freemalaysiatoday.com/wp-content/uploads/2021/10/mior-faridalathrash-Bernma-a.jpg)
Selain suspek, Pengarah Kesihatan Daerah Ulu Kinta, pengetua serta pegawai perubatan yang merawat pelajar turut dirakam keterangan, menurut polis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Seramai enam individu termasuk suspek yang mendakwa berlaku kematian dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai, di Ipoh, kononnya selepas menerima vaksin Covid-19 sudah diambil keterangan oleh pihak polis.
Ketua Polis Perak Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek wanita berusia 39 tahun itu sudah diambil keterangannya di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan, semalam.
Katanya, selain suspek, polis turut merakam percakapan Pengarah Kesihatan Daerah Ulu Kinta, pengetua serta pegawai perubatan yang merawat pelajar terbabit.
Faridalathrash berkata, keluarga pelajar terbabit serta beberapa saksi yang berada di tempat kejadian ketika suspek membuat kenyataan sebagaimana dalam video tular berkenaan turut dirakam percakapan.
“Siasatan kes akan disegerakan sebelum merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan selanjutnya,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Tambah beliau, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan mencadangkan untuk pertuduhan ke atas suspek yang juga mengaku ada membuat kenyataan seperti mana dalam video tular berkenaan yang jelas tidak benar.
“Kenyataan suspek dibimbangi mencetuskan ketakutan dalam kalangan penerima vaksin sedangkan kenyataan itu langsung tidak tepat memandangkan dua pelajar terbabit meninggal dunia sebelum divaksin,” katanya.
Minggu lalu, polis dilaporkan membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan terdapat dua pelajar sebuah sekolah di Perak yang dikatakan meninggal dunia akibat suntikan vaksin Covid-19.
Faridalathrash berkata, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam bagi menyebabkan ketakutan pada orang awam.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.