Wednesday, December 1, 2021

BN berwibawa perintah negara, kata Zahid yang berdepan puluhan kes jenayah

agendaily.com
1/12/2021

Presiden UMNO yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Barisan Nasional merayu rakyat menyokong gabungan itu pada PRU15 nanti.

Hanya dengan menjadikan alasan Barisan Nasional (BN) tidak memerintah negara selama tiga tahun ini, Malaysia sudah kucar-kacir dalam banyak segi, Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa kerajaan BN adalah yang paling berwibawa.

Dalam rayuannya supaya rakyat kembali kepada BN apabila Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan nanti, bekas Timbalan Perdana Menteri itu mendakwa Malaysia mempunyai sebab munasabah untuk meyakini BN.

“Jika mahu disentuh secara terperinci segala fakta tentang 22 bulan dan 17 bulan pasti panjang untuk disenaraikan, namun ia sebuah hakikat yang nyata.

“Rumusan terpenting mengenai segala-galanya adalah perjalanan negara sejak merdeka telah membuktikan kerajaan BN adalah kerajaan paling berkaliber,” kata Zahid yang mengetuai 15 Ahli Parlimen (MP) UMNO yang menarik sokongan terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini.

Zahid yang kini berdepan puluhan tuduhan jenayah di dua Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur dan Shah Alam berkata kerajaan BN adalah kerajaan paling berwibawa, berkemampuan dan berpengalaman untuk mentadbir dan membawa kemakmuran.

Mengambil contoh pengundi Melaka telah menjayakan misi kembali kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 20 November lalu, beliau berkata harapan kini diletakkan kepada rakyat di negeri-negeri lain pula untuk memastikan kejayaan BN.

“Seruan mengembalikan kemakmuran bersama kerajaan BN bukan retorik sebaliknya berdasarkan kebenaran yang disaksikan rakyat Malaysia sejak 9 Mei 2018,” katanya yang berdepan 40 tuduhan menerima suapan daripada Ultra Kirana Sdn Bhd berhubung VLN kerajaan.

Sebanyak 33 pertuduhan adalah berkaitan menerima suapan berjumlah SGD13.56 juta daripada Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri di Kementerian Dalam Negeri Malaysia (KDN), melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di negara China dan Sistem VLN serta didakwa mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh KDN.

Tujuh pertuduhan lagi, Presiden UMNO itu didakwa sebagai Menteri Dalam Negeri memperoleh untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3,000,000, EURO15,000 dan AS$15,000 tanpa balasan daripada syarikat sama yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi beliau.

Kes itu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan masih berjalan.

Mengulas lanjut, Zahid berkata BN paling berkaliber dalam memastikan pentadbiran ekonomi yang cemerlang, kestabilan yang terbilang dan kesejahteraan rakyat yang gemilang.

“Justeru jangan segan dan usah berasa malu untuk kembali menyokong BN kerana itu juga suatu jasa dan pengorbanan demi masa depan.

“Maka apabila tiba masanya kita bersama memastikan sejarah hitam PRU-14 tidak berulang dan mengembalikan sebuah kerajaan rakyat iaitu kerajaan Barisan Nasional,” katanya yang mengaku tidak bersalah terhadap 47 pertuduhan jenayah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membabitkan Yayasan Akalbudi.

Dua belas daripada pertuduhan itu membabitkan pecah amanah jenayah (CBT), lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan wang berpuluh-puluh juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Pada 19 Mac lepas, pendakwaan telah menutup kesnya selepas memanggil 99 saksi.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah telah mengarahkan pendakwaan dan pembelaan mengemukakan hujahan bertulis masing-masing pada 28 Mei dan menetapkan 28 hingga 30 Jun serta 1 hingga 2 Julai sebagai tarikh pendengaran bagi hujahan lisan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-