Monday, May 23, 2022

Najib, peguam gagal halang Sri Ram jadi pendakwa dalam kes 1MDB

freemalaysiatoday.com
Ho Kit Yen
-May 23, 2022 11:50 AM

Sebelum ini cabaran undang-undang Najib Razak dan Shafee Abdullah ditolak oleh kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan rayuan bekas perdana menteri Najib Razak dan peguamnya Shafee Abdullah untuk menghalang Gopal Sri Ram daripada menjadi pendakwa dalam kes berkaitan 1MDB.

Sebelum ini, cabaran undang-undang Najib dan Shafee, yang mendakwa pelantikan Sri Ram membabitkan konflik kepentingan, ditolak oleh kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Kedua-dua mahkamah itu kemudian memutuskan bahawa Sri Ram “lebih daripada layak” untuk mengendalikan pendakwaan dalam kes berkaitan 1MDB.

Hari ini, hakim Mahkamah Persekutuan Zawawi Salleh, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata, permohonan kebenaran bagi Najib dan Shafee untuk merayu keputusan mahkamah rendah tidak memenuhi keperluan undang-undang bawah Akta Mahkamah Kehakiman.

“Soalan kebenaran yang dikemukakan oleh kedua-dua pemohon telah diputuskan sebelum ini dalam kes Anwar Ibrahim,” katanya, merujuk kepada tindakan mahkamah oleh Anwar untuk memecat Shafee dalam rayuan kes Liwat 2.

“Memandangkan undang-undang telah diselesaikan, maka tiada sebab untuk mengabaikannya.”

Mahkamah tidak mengeluarkan perintah mengenai kos.

Hakim Mahkamah Persekutuan lain yang bersidang bersama Zawawi adalah Vernon Ong dan Nallini Pathmanathan.

Sri Ram, seorang bekas hakim, mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB yang menyaksikan Najib dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana RM2.28 bilion.

Beliau juga menerajui pendakwaan dalam kes laporan audit 1MDB, yang menyaksikan Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya dalam meminda versi akhir laporan itu sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib.

Sementara itu, Shafee dibicarakan atas empat tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib pada 2013 dan 2014.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-