Showing posts with label Gopal Sri Ram. Show all posts
Showing posts with label Gopal Sri Ram. Show all posts

Thursday, September 1, 2022

Kes rasuah projek solar: Pendakwaan bantah permohonan Rosmah agar hakim tarik diri

freemalaysiatoday.com
Bernama
-September 1, 2022 12:00 PM
Pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram berkata, ‘penghakiman’ bocor yang dirujuk oleh Rosmah Mansor dalam permohonannya bukan penghakiman bertulis.

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan hari ini membantah permohonan Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes rasuahnya membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Rosmah, 70, memfailkan permohonan itu di saat akhir atas alasan tular di media massa dan elektronik pada 26 Ogos lepas berkenaan berlakunya kebocoran penghakiman kes itu yang disediakan oleh pihak lain.

Pendakwa raya ad hoc Gopal Sri Ram berkata “penghakiman” bocor yang dirujuk oleh Rosmah bukanlah penghakiman bertulis.

“Jelas daripada dokumen itu sendiri bahawa ia adalah penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.

Sri Ram berhujah bahawa permohonan itu sepenuhnya berdasarkan kepada keterangan dengar cakap serta niat jahat.

Pemohon juga tidak mengemukakan sebarang bukti yang boleh dipercayai dan kukuh untuk menyokong tuduhannya terhadap Mohamed Zaini, tambahnya.

“Kami sedia berhujah dan kami membantah sebarang permohonan penangguhan dan penyampaian penghakiman.

“Jika mereka tidak bersedia, kami minta ia (permohonan) ditolak,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi membalas permohonan peguam Jagjit Singh supaya menangguhkan prosiding permohonan itu kerana mereka memerlukan lebih masa untuk mengumpul fakta.

Peguam itu membangkitkan perkara tersebut ketika prosiding bermula pada 9.28 pagi.

Jagjit juga berkata, pihak pembelaan memerlukan masa untuk menjawab afidavit disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn yang membantah permohonan Rosmah.

Hakim berkata, pihak pembelaan telah memfailkan sijil perakuan segera dan ini biasanya bermakna perkara itu harus didengar secepat mungkin.

“Jika tidak pada hari yang sama, ia harus didengar pada hari berikutnya. Apabila kamu memfailkan sijil perakuan segera sehari sebelum Hari Merdeka, saya mengarahkan pegawai saya supaya menyediakan prosiding hari ini,” katanya.

Hakim bertanya kepada pihak pembelaan idea siapa permohonan itu difailkan dan Jagjit menjawab, “Kami bertindak atas arahan.”

“Kamu mahu (prosiding) permohonan itu ditangguhkan ke hari lain? Permohonan ini akan bersifat akademik selepas saya menyampaikan keputusan saya,” kata hakim.

Beliau juga mengambil maklum dakwaan dalam permohonan agar beliau menarik diri itu berkaitan kononnya penghakiman ditulis oleh pihak ketiga bagi pihaknya.

Bagaimanapun, hakim itu berkata, beliau seorang sahaja yang akan menjawab perkara itu dan meminta pihak pembelaan berhujah mengenai permohonan tersebut sebelum menangguhkan prosiding itu.

“Saya akan tunggu. Beritahu saya apabila sudah bersedia,” katanya.

Hakim dijadual menyampaikan keputusan kes itu hari ini.

Tuesday, August 30, 2022

Mahkamah tolak usaha kedua Rosmah untuk lucutkan Sri Ram

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Aug 30, 2022 5:55 PM
Bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram sekali lagi kekal sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rasuah Rosmah Mansor yang dikaitkan dengan projek tenaga hibrid solar bernilai RM1.25 bilion.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Rayuan dan Kuasa Khas) petang tadi menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu.

Dengan penafian kebenaran itu, mahkamah sivil tidak akan mendengar merit semakan kehakiman Rosmah yang mahu melucutkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan.

Rosmah memfailkan permohonan serupa tahun lalu di Mahkamah Tinggi bidang kuasa jenayah. Bagaimanapun, permohonannya ditolak dan rayuannya juga ditolak oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

Mahkamah jenayah telah menetapkan Khamis ini untuk menyampaikan keputusan dalam kes rasuah, yang akan melihat sama ada dia dibebaskan atau disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman.

Rosmah dituduh meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya Rizal Mansor sebagai ganjaran membantu Jepak Holdings memperoleh projek bernilai RM1.25 bilion untuk menyediakan tenaga hibrid solar di 369 sekolah di luar bandar Sarawak.

[Baca berita penuh]

Monday, May 23, 2022

Najib, peguam gagal halang Sri Ram jadi pendakwa dalam kes 1MDB

freemalaysiatoday.com
Ho Kit Yen
-May 23, 2022 11:50 AM

Sebelum ini cabaran undang-undang Najib Razak dan Shafee Abdullah ditolak oleh kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan menolak permohonan rayuan bekas perdana menteri Najib Razak dan peguamnya Shafee Abdullah untuk menghalang Gopal Sri Ram daripada menjadi pendakwa dalam kes berkaitan 1MDB.

Sebelum ini, cabaran undang-undang Najib dan Shafee, yang mendakwa pelantikan Sri Ram membabitkan konflik kepentingan, ditolak oleh kedua-dua Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

Kedua-dua mahkamah itu kemudian memutuskan bahawa Sri Ram “lebih daripada layak” untuk mengendalikan pendakwaan dalam kes berkaitan 1MDB.

Hari ini, hakim Mahkamah Persekutuan Zawawi Salleh, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata, permohonan kebenaran bagi Najib dan Shafee untuk merayu keputusan mahkamah rendah tidak memenuhi keperluan undang-undang bawah Akta Mahkamah Kehakiman.

“Soalan kebenaran yang dikemukakan oleh kedua-dua pemohon telah diputuskan sebelum ini dalam kes Anwar Ibrahim,” katanya, merujuk kepada tindakan mahkamah oleh Anwar untuk memecat Shafee dalam rayuan kes Liwat 2.

“Memandangkan undang-undang telah diselesaikan, maka tiada sebab untuk mengabaikannya.”

Mahkamah tidak mengeluarkan perintah mengenai kos.

Hakim Mahkamah Persekutuan lain yang bersidang bersama Zawawi adalah Vernon Ong dan Nallini Pathmanathan.

Sri Ram, seorang bekas hakim, mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes 1MDB yang menyaksikan Najib dibicarakan atas 25 tuduhan pengubahan wang haram dan salah guna kuasa membabitkan dana RM2.28 bilion.

Beliau juga menerajui pendakwaan dalam kes laporan audit 1MDB, yang menyaksikan Najib dituduh menyalahgunakan kuasanya dalam meminda versi akhir laporan itu sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib.

Sementara itu, Shafee dibicarakan atas empat tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.5 juta yang didakwa diterima daripada Najib pada 2013 dan 2014.

Monday, February 15, 2021

Permohonan Najib ketepikan Sri Ram gagal lagi

malaysiakini.com

Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan 15 Feb 2021, 12:21 pm

Najib Razak sekali lagi gagal dalam permohonannya untuk menyingkirkan bekas hakim mahkamah persekutuan Gopal Sri Ram daripada bertindak sebagai timbalan pendakwa raya untuk kes-kes berkaitan 1MDB membabitkan bekas perdana menteri itu.

Pagi ini Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib untuk menggugurkan Sri Ram yang menerajui pasukan pendakwaan dalam perbicaraan membabitkan kes meminda laporan audit 1MDB.

Najib sebelum ini mengemukakan beberapa permohonan di mahkamah berasingan untuk mengetepikan Sri Ram daripada tugas itu namun tidak berjaya.

Antaranya, pada 28 Ogos apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Najib untuk membatalkan Sri Ram daripada pasukan pendakwaan dalam perbicaraan tersebut.

Sewaktu prosiding mahkamah pagi tadi, hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa tiada asas untuk permohonan Najib menyingkirkan Sri Ram.

Hakim itu turut memaklumkan, Sri Ram - seperti mana-mana orang lain - berhak atas pendapat peribadinya.

Kata Mohamed Zaini ia akan menjadi pertimbangan lain sekiranya pendapat dikemukakan Sri Ram menunjukkan dia berat sebelah ketika dia menjalankan tugas sebagai timbalan pendakwa raya.

“Bagaimanapun, seperti yang dihujahkan responden (pasukan pendakwaan) peristiwa (kejadian yang didakwa menunjukkan berat sebelah menerusi pertemuan bersama peguam negara pada awal 2018, Mohamed Apandi Ali) berlaku sebelum Sri Ram dilantik sebagai timbalan pendakwa raya.

“(Najib) tidak membuat permohonan lebih awal untuk mengadu kelakuan Sri Ram dalam perbicaraan (laporan audit 1MDB).
Mohamed Apandi Ali
“Ini memberi kepercayaan kepada responden bahawa Sri Ram berkelakuan sebagai timbalan pendakwa raya.

“Permohonan Najib terhadap Sri Ram adalah tanpa merit. Tiada hal yang dapat menyokong permohonan ini kerana ia kekal andaian (hypothetical),” kata Mohamed Zaini.

Perbicaraan kes membabitkan pertuduhan Najib meminda laporan audit 1MDB dijadualkan sambung semula pada 22 Jan ini.

Permohonan Najib dibuat berdasarkan afidavit Mohamed Apandi yang mendakwa Sri Ram cuba memujuknya memainkan peranan supaya Najib ditangkap.

Menerusi hantaran di Facebook tahun lalu, Mohamed Apandi mendakwa Sri Ram menemuinya di rumah pada Jan 2018, dikatakan atas arahan Dr Mahathir Mohamad.

Lampiran perbualan Whatsapp kedua-dua belah pihak itu juga didedahkan semasa perbicaraan. Mesej tersebut didakwa dihantar pada pertemuan Jan 2018 itu.

Pada 12 Jun tahun lepas, Najib mengemukakan permohonan untuk menggugurkan Sri Ram sebagai pendakwa khas laporan audit 1MDB bekas perdana menteri itu.

Najib, 67, didakwa atas pertuduhan menggunakan jawatannya untuk mengarahkan supaya Laporan Akhir Pengauditan 1MDB dipinda sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan terhadapnya.

Bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib meminda laporan terbabit untuk melindungi ahli parlimen Pekan itu daripada dikenakan tindakan.

[Baca berita penuh]

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-