Sunday, May 15, 2022

Runding gabungan tanpa izin Umno, Ku Li tak kisah dipecat

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-May 15, 2022 7:30 PM

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, berkata beliau tidak pernah mencadangkan gabungan dibentuk bagi menewaskan PAS di Kelantan, sebaliknya menerima pelawaan daripada parti pembangkang bagi tujuan itu.

PETALING JAYA: “Dia (parti) nak buang saya, dia buanglah. Saya rasa makan garam lebih dulu,” kata veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah, selepas dikaitkan akan mengetuai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan, tanpa keizinan parti.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li, berkata beliau tidak pernah mencadangkan dirinya untuk mengetuai gerakan demi menjatuhkan PAS di Kelantan, bahkan beliau menerima permintaan daripada beberapa parti bagi tujuan itu.

“Sebenarnya diorang secara tak semena-mena datang….daripada semua parti, DAP pun ada, Pejuang pun ada, semua hadir.

“Diorang datang kata nak buat kunjungan hormat, minum teh berbual-bual, diorang kata boleh ke tidak saya bantu diorang dalam kempen nak jatuhkan PAS di Kelantan,” katanya menurut wawancara dalam video ringkas Sinar Harian.

Susulan daripada permintaan parti terbabit, Ku Li berkata,”Saya dok lawan PAS tak henti-henti daripada dulu sampai sekarang.”

“…tapi saya kata ini semua bergantung kepada ketua-ketua parti, parti masing-masing perlu memutuskan sikap, kalau kita betul-betul bersatu, betul-betul bersatu dan kerah tenaga bersama kita, jatuh PAS,” katanya.

Pada 28 Apr, Timbalan Ketua Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed, mengesahkan Ku Li akan mengetuai Angkatan Amanah Merdeka Rakyat Kelantan dalam usaha menumbangkan kerajaan PAS menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Pada hari sama, bekas setiausaha agung Umno Annuar Musa menyifatkan pertemuan Ku Li dengan pemimpin Kelantan, termasuk daripada Amanah, dalam majlis berbuka puasa, adalah tindakan individu, bukan keputusan parti.

Pada 22 Jan, Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Umno negeri membuat keputusan untuk tidak bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN).

Dalam pada itu, Ku Li ketika mengulas berhubung pertemuan dengan ahli Amanah dalam majlis berbuka puasa, bekas menteri kewangan itu, berkata, pertemuan di kediamannya adalah lanjutan daripada pertemuan sebelum ini.

“Jadi, ramai yang hadir tak habis berbincang (dalam pertemuan pertama), jadi saya kata kalau nak cakap lebih lanjut lagi, kita jumpa di rumah saya di Kota Bharu.

“Jadi, diorang datanglah, yang datang ini ramai daripada parti Mat Sabu nak berbuka puasa, jadi kita bincanglah. Diorang yang buat cadangan, saya tak buat apa-apa cadangan.”

Katanya, dalam usaha menjatuhkan PAS di Kelantan memerlukan restu daripada pimpinan parti masing-masing.

Ku Li berkata, sekiranya sudah mendapat restu berkenaan, beliau sedia berbincang dengan lebih lanjut.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-