Thursday, June 30, 2022

Jangan main-main, timbalan pendakwa raya tegur Zahid

freemalaysiatoday.com
V Anbalagan
-June 30, 2022 3:57 PM
Ahmad Zahid Hamidi (tengah) diberi peringatan bahawa beliau tidak berada di kedai kopi atau dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran yang kebiasaannya kelihatan tenang bagaimanapun hilang sabar dalam perbicaraan kes rasuah Ahmad Zahid Hamidi, selepas presiden Umno itu bersikap mengelak untuk memberi jawapan dalam pemeriksaan balas.

Raja Rozela berang apabila Zahid berulang kali enggan menjawab secara terus persoalan dikemukakan, namun sebaliknya memberi penjelasan.

Zahid kelihatan tidak mengambil peringatan nasihat hakim perbicaraan, Collin Lawrence Sequerah, selain peringatan berulang kali yang dibuat oleh Raja Rozela.

Raja Rozela menamatkan pemeriksaannya dengan mengatakan “terima kasih”, dengan Zahid membalas, “terima kasih kepada anda juga”.

Ketika itu, beliau menegur bekas timbalan perdana menteri itu supaya “jangan main-main”.

“Hati-hati, Datuk Seri ini dalam mahkamah ya.

“Saya pegawai mahkamah dan anda bukan dekat kedai kopi, bukan dekat Majlis Tertinggi (Umno),” katanya.

Terdahulu, beliau memberitahu Zahid supaya menjawab soalan yang dikemukakan secara terus dan akan mendapatkan penjelasan sekiranya perlu.

Ia berlaku apabila Zahid ditanya berhubung beberapa persoalan bagaimana wang RM17.9 juta daripada Yayasan Akalbudi berada dalam deposit tetap yang dikendalikan oleh firma guaman, Tetuan Lewis & Co, yang menjadi subjek satu daripada 12 pertuduhan penyelewengan yang dikenakan terhadapnya.

Peguam mewakili Zahid, Hisyam Teh Poh Teik, bangun dan berkata, Raja Rozela perlu berhenti memberi syarahan.

Zahid sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa setiausaha syarikat tidak merekodkan kelulusan lembaga pemegang amanah yayasan itu untuk melabur RM10 juta dalam Armada Holdings Sdn Bhd, iaitu subjek dalam pertuduhan pecah amanah jenayah.

“Saya berbincang perkara itu dan mendapat kelulusan daripada dua pemegang amanah,” katanya.

Raja Rozela: Bagaimana ia berlaku sedangkan tiada rekod mesyuarat atau perbincangan?

Zahid: Ia disebabkan kesilapan setiausaha syarikat, bukan saya.

Zahid berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang dan pecah amanah jenayah (CBT) membabitkan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah bagi pelbagai projek ketika berkhidmat sebagai menteri dalam negeri.

Dua belas daripada pertuduhan itu membabitkan penyelewengan, lapan rasuah dan selebihnya 27 pengubahan wang.

Perbicaraan bersambung.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-