Tuesday, August 16, 2022

Bekas Panglima TLDM bakal berdepan tuduhan pecah amanah LCS

bharian.com.my
Oleh Faris Fuad
faris.fuad@bh.com.my
 - Ogos 16, 2022 @ 8:35am
Bekas Panglima TLDM, Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor (kanan) tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pagi ini dan dijangka berdepan pertuduhan pecah amanah membabitkan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

KUALA LUMPUR: Bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor tiba di Kompleks Mahkamah di sini, pagi ini dan dijangka berdepan pertuduhan pecah amanah membabitkan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS).

Ahmad Ramli, 78, yang juga bekas Pengarah Urusan Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) memakai kot hitam dan berkemeja putih itu tiba kira-kira jam 8 pagi, sebelum masuk mahkamah diiringi ahli keluarga.

Beliau dijangka berdepan tiga tuduhan pecah amanah membabitkan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) termasuk membabitkan bayaran RM13 juta kepada Setari Holdings Ltd, yang dikatakan dilakukan tanpa mendapat persetujuan Ahli Lembaga Pengarah BNS.

Ahmad Ramli dilantik sebagai Panglima TLDM pada 1996 sebelum bersara wajib pada 1998 selepas berkhidmat selama 35 tahun dalam pasukan itu.

Beberapa pengamal media daripada pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 7.45 pagi untuk merakam video serta gambar bekas pegawai kanan itu.

Pada Khamis lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian projek pembinaan LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

Sehari sebelum itu, Jemaah Menteri meminta SPRM menyegerakan siasatan berhubung isu membabitkan projek LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dipetik berkata mesyuarat Jemaah Menteri yang membincangkan secara terperinci perkara itu, turut meminta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun membuat pendakwaan jika ada bukti kukuh serta membawa pihak bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Projek pembinaan LCS adalah perolehan terbesar dalam sejarah Kementerian Pertahanan (MINDEF) dengan kos keseluruhan RM9 bilion dan kontrak bagi projek itu bermula 2013 serta dijangka siap dalam masa 10 tahun.

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada BNS, yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal yang diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

PAC melalui laporannya juga mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS itu, selain mengesyorkan tujuh langkah.

Ia termasuk SPRM mengambil tindakan terhadap dapatan laporan PAC itu, Laporan Audit Forensik serta Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK).Selain itu, MINDEF perlu mengemukakan laporan kemajuan kepada PAC setiap tiga bulan sehingga projek itu disiapkan dan JKSTUPKK dinyahklasifikasikan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-