FMT Reporters
-August 30, 2022 2:45 PM
Rafizi Ramli mengingatkan Muhyiddin Yassin agar tidak memandang rendah pemimpin yang lebih muda sepertinya.
PETALING JAYA: Rafizi Ramli membidas kenyataan Muhyiddin Yassin yang menyifatkan kenyataannya tiada kerjasama antara Pakatan Harapan dengan Perikatan Nasional sebagai pandangan peribadi.
Rafizi berkata pengerusi PN itu meremehkan kenyataan beliau sebagai timbalan presiden PKR dan ahli dalam Majlis Presiden PH.
“Katanya (Muhyiddin) itu pendapat peribadi saya, bukan keputusan PH. Yang jadi timbalan presiden dan duduk dalam Majlis Presiden PH adalah saya. Yang tahu apa keputusan PH dia,” kata Rafizi dalam kenyataan.
Rafizi turut mengingatkan Muhyiddin agar tidak memandang rendah pemimpin yang lebih muda sepertinya.
“Mereka (Perikatan Nasional) memandang rendah mereka yang lebih muda. Walaupun saya sudah berusia 45 tahun, telah berada dalam barisan kepimpinan sejak berusia awal 20an, di mata Muhyiddin saya hanya budak hingusan.
“Sebab dalam PN, orang muda ini fungsinya bukan untuk membuat keputusan. Fungsi pimpinan berumur 40an ke bawah dalam PN hanyalah mengikut telunjuk mereka yang dua atau tiga dekad lebih tua,” katanya.
Selain itu, Rafizi juga turut mengingatkan Muhyiddin bahawa keputusan PH untuk tidak bekerjasama dengan PN adalah muktamad dan menolak sebarang rundingan belakang tabir yang membelakangi keputusan yang sudah dibuat parti.
“Keputusan untuk memberi noktah kepada sebarang perbincangan bekerjasama dengan PN ini ialah keputusan Majlis Presiden PH yang terakhir.
“Keputusannya ialah PH akan menguatkan gabungan ini dan masuk PRU15 sebagai PH. Noktah,” katanya.
Terdahulu, Muhyiddin menyifatkan kenyataan Rafizi menolak sebarang bentuk kerjasama dengan gabungan itu sebagai “sekadar pandangan peribadi”.
Rafizi sebelum ini berkata, PH menegaskan, keputusan mereka untuk tidak menjalinkan kerjasama dengan PN bagi menghadapi PRU15 adalah muktamad.
Katanya, ia sudah pun diputuskan menerusi mesyuarat PH, pada Rabu lalu.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.