Sunday, August 14, 2022

LCS: Mat Sabu, Chin Tong label Hishammuddin terdesak, hanya ikut ‘skrip’ Najib

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 14, 2022 6:45 PM
Wakil media dibawa melawat tapak pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut, Perak, semalam.

PETALING JAYA: Bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong menyifatkan lawatan Hishammuddin Hussein semalam sebagai satu “sandiwara”.

Mohamad dan Chin Tong dalam kenyataan berkata, Hishammuddin dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kes kapal tempur pesisir (LCS).

“Semalam, pihak Kementerian Pertahanan membawa wakil media lawat ke tapak pembinaan LCS di Lumut dengan niat untuk meyakinkan rakyat bahawa LCS memang wujud dan projek ini masih berlangsung.

“Menurut rakan daripada pihak media, lawatan semalam seperti ‘tikus baiki labu’, media dibawa ke ‘hull’ (badan kapal) LCS 1 dan badan kapal LCS 2 hanya boleh dilihat dari jauh. Kapal-kapal yang lain tidak kelihatan,” katanya.

Mereka berkata, Hishammuddin cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud seperti diperkatakan bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Seperti Najib Razak, Hishammuddin cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud.

“Najib cuba menuding jari dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan untuk kelewatan projek LCS. Pakatan Harapan berkuasa 22 bulan tetapi Barisan Nasional yang memegang tampuk kuasa sebelum dan selepas itu melebihi 60 tahun,” katanya.

Selain itu, Mohamad dan Chin Tong juga mengingatkan Hishammuddin untuk tidak menyorokkan kebenaran bahawa projek LCS adalah projek sakit, namun memberi jalan penyelesaian bagi isu terbabit.

Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-