Showing posts with label Liew Chin Tong. Show all posts
Showing posts with label Liew Chin Tong. Show all posts

Sunday, August 14, 2022

LCS: Mat Sabu, Chin Tong label Hishammuddin terdesak, hanya ikut ‘skrip’ Najib

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-August 14, 2022 6:45 PM
Wakil media dibawa melawat tapak pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) di Lumut, Perak, semalam.

PETALING JAYA: Bekas menteri pertahanan, Mohamad Sabu dan timbalannya, Liew Chin Tong menyifatkan lawatan Hishammuddin Hussein semalam sebagai satu “sandiwara”.

Mohamad dan Chin Tong dalam kenyataan berkata, Hishammuddin dilihat tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan kes kapal tempur pesisir (LCS).

“Semalam, pihak Kementerian Pertahanan membawa wakil media lawat ke tapak pembinaan LCS di Lumut dengan niat untuk meyakinkan rakyat bahawa LCS memang wujud dan projek ini masih berlangsung.

“Menurut rakan daripada pihak media, lawatan semalam seperti ‘tikus baiki labu’, media dibawa ke ‘hull’ (badan kapal) LCS 1 dan badan kapal LCS 2 hanya boleh dilihat dari jauh. Kapal-kapal yang lain tidak kelihatan,” katanya.

Mereka berkata, Hishammuddin cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud seperti diperkatakan bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Seperti Najib Razak, Hishammuddin cuba membuktikan bahawa kapal dan badan kapal memang wujud.

“Najib cuba menuding jari dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan untuk kelewatan projek LCS. Pakatan Harapan berkuasa 22 bulan tetapi Barisan Nasional yang memegang tampuk kuasa sebelum dan selepas itu melebihi 60 tahun,” katanya.

Selain itu, Mohamad dan Chin Tong juga mengingatkan Hishammuddin untuk tidak menyorokkan kebenaran bahawa projek LCS adalah projek sakit, namun memberi jalan penyelesaian bagi isu terbabit.

Minggu lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dalam laporannya menyatakan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard (BNS), yang dilaksanakan secara runding terus, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, mendedahkan lebihan kos projek LCS berjumlah RM1.4 bilion, dengan RM400 juta digunakan untuk membayar hutang lama daripada projek kapal peronda lama.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengemukakan kertas siasatan dakwaan penyelewengan dalam pengendalian LCS kepada Jabatan Peguam Negara.

Saturday, July 11, 2020

Chin Tong: Mereka yang mahu DAP hanya tumpu pada kubu Cina itu tolol


Senator dari DAP, Liew Chin Tong sekali menyatakan bahawa parti itu harus melangkaui kubu Cina dan menyelar mereka yang masih berkeras untuk memberi tumpuan hanya kepada satu demografi semata-mata.

“Saya beritahu ahli kita, setiap kali kolum akhbar atau sesiapa sahaja, dalam mahupun luar parti, yang memberitahu kita bahawa DAP hanya patut jaga 'kubu Cina', orang-orang ini sama ada tolol atau mempunyai niat jahat,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Kata Liew, beliau menyampaikan perkara itu dalam sesi taklimat untuk ahli DAP yang dianjurkan Anggota Parlimen Bakri Yeo Bee Yin dan Adun Bentayan Ng Yak Howe.

Katanya lagi, mereka bercakap kepada pemimpin-pemimpin akar umbi utama di situ mengenai keresahan tentang politik semasa.

Beliau turut memberi amaran terhadap usaha untuk menjadikan DAP hanya fokus kepada kubu-kubu Cina.

“Kita mesti sangat sedar akan niat daripada usaha seperti itu, dan tidak terikut-ikut dengan percaturan musuh kita.

“Tak ada ‘kerusi Cina’ seperti yang diperkatakan. Semua kerusi yang kita tandingi adalah kerusi pelbagai kaum.

“Semua kerusi parlimen yang ditandingi DAP di Johor mempunyai komposisi pelbagai kaum,” katanya.

Liew turut menyenaraikan kerusi parlimen DAP yang ditandingi di Johor, berserta komposisi kaumnya sekali:

Bakri: Cina 53.1 pera; Melayu 44.23 peratus; India 2.15 peratus

Labis: Cina 44.94 peratus; Melayu 37.98 peratus; India 14.68 peratus

Kluang: Cina 47.49 peratus; Melayu 41.63 peratus; India 9.38 peratus

Kulai: Cina 54.04 peratus; Melayu 34.96 peratus; India 10.24 peratus

Iskandar Puteri: Cina 49.79 peratus; Melayu 36.65 peratus; India 12.46 peratus

Ayer Hitam: Cina 37.97 peratus; Melayu 57.68 peratus; India 4.01 peratus

“Tak ada kerusi yang lebih 55 peratus pengundi Cina, manakala semua kerusi ini mempunyai pengundi Melayu (sekurang-kurangya) 35 peratus ke atas, dengan sesetengah pula mempunyai bilangan pengundi India yang sangat signifikan,” katanya.

Tegas Liew lagi, matlamat DAP sentiasa untuk berkhidmat kepada semua rakyat Malaysia tidak kira bangsa dan latar belakang agama.

“DAP mesti melakukan semua yang ia mampu, untuk melindungi (rakyat) daripada mereka yang mahu mencetuskan perpecahan kaum,” katanya.

[Baca berita asal]

Friday, July 6, 2018

Liew calon timbalan menteri pertahanan, tingkat profil bukan Melayu

FMT Reporters | July 6, 2018

Pakar strategi DAP itu hampir pasti dijadikan timbalan menteri pertahanan selepas diangkat menjadi senator, menurut sumber FMT.

KUALA LUMPUR: Pakar strategi DAP, Liew Chin Tong, dikatakan calon untuk jawatan timbalan menteri pertahanan dalam satu langkah strategi yang diharapkan oleh pihak tentera dapat memecahkan imej satu kaum angkatan itu.

Pelantikannya dijangka berlaku dalam beberapa minggu selepas dilantik menjadi senator, dan selepas kerajaan persekutuan Pakatan Harapan mempertahankan pelantikan orang-orang bukan Melayu ke jawatan kanan kerajaan yang sekian lama dipegang orang Melayu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, selepas bermesyuarat dengan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan hari ini, mengesahkan individu yang akan diantik menjadi timbalan menteri pertahanan bukan seorang wakil rakyat.

“Kita perlu lantik orang itu menjadi senator terlebih dahulu,” katanya.

Liew enggan mengesahkan atau menafikan ketika ditanya adakah dia maklum akan pelantikannya sebagai timbalan kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu.

“Tiada komen,” katanya kepada FMT.

Pelantikannya ke portfoli yang akan menyelia angkatan tentera yang sebahagiannya dianggotai orang Melayu mungkin tidak akan menyaksikan bantahan seperti yang menyusuli pelantikan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan dan Tommy Thomas sebagai peguam negara.

Sumber tentera memberitahu FMT pelantikan Liew itu akan sangat membantu angkatan tentera yang “bersusah payah untuk mengatasi imej pertubuhan satu kaum itu.”

“Mungkin dengan pelantikan seorang bukan Melayu ke jawatan itu, ia akan mengalakkan lebih banyak penyertaan daripada masyarakat lain ke dalam angkatan tentera.”

“Kami gagal menarik penyertaan mereka selepas semua usaha yang kita lakukan,” kata pegawai di unit perisikan tentera darat.

Dia bercakap kepada FMT dengan syarat namanya dirahsiakan.

Bulan lepas, Istana Negara menepis laporan Yang di-Pertuan Agong keberatan memberi persetujuan kepada pelantikan Tommy di tengah-tengah kritikan peguam itu tidak layak kerana penguasaan Bahasa Melayu yang lemah serta latar belakang etnik.

Liew mengetuai Biro Pendidikan Politik DAP dan juga ketua DAP Johor. Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Kluang tetapi antara sebilangan pemimpin kanan yang gagal memenangi kerusi pada pilihan raya umum 9 Mei.

Beliau tewas di Ayer Hitam di tangan Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong, bekas timbalan menteri pertahanan, yang menang dengan majoriti 300 undi. Liew mengemukakan petisyen untuk mencabar keputusan itu.

Pada tahun lepas angkatan tentera, yang sebahagian besar dianggotai orang Melayu, mengumumkan rancangan untuk meningkatkan penyertaan orang bukan Melayu sebanyak 10% setiap tahun.

Langkah itu disokong kumpulan veteran lantang, Persatuan Patriot Kebangsaan, yang berkata orang bukan Melayu dan bukan Islam keberatan kerana ada pembahagian mengikut garis etnik yang jelas dalam angkatan tentera.

Presiden Patriot, Brig Jen (B) Datuk Mohd Arshad Raji ketika itu berkata dasar tindakan afirmatif yang memihak kepada orang Melayu sudah menjejaskan pentadbiran tentera, menyebabkan ramai orang bukan Melayu “rasa tidak disenangi”.

“Mereka membuatkan individu-individu berkenaan rasa tidak penting dan tidak diingini. Sebaliknya, perasaan seperti ‘orang luar’ menyebabkan ramai rasa tidak disenangi,” kata Arshad, dan menambah semangat cintakan negara dalam kalangan orang bukan Melayu tidak pernah menjadi isu.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-