Friday, August 12, 2022

Pegawai SPRM: Najib arah pinda laporan audit 1MDB untuk lindung dirinya

malaysiakini.com
Hidir Reduan Abdul Rashid
Diterbitkan: Aug 12, 2022 
Seorang pegawai SPRM hari ini berkata bekas perdana menteri Najib Razak ingin meminda laporan audit 1MDB pada 2016 atas tujuan melindungi dirinya daripada kesan undang-undang.

Hanif Lami berkata demikian ketika prosiding di depan hakim Mohamed Zaini Mazlan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. Dia merupakan saksi pendakwaan ke-16 dalam kes pinda laporan audit 1MDB terhadap Najib dan bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Dia berkata itu merupakan kesimpulannya berhubung sebab Najib menggunakan kedudukannya selaku bekas perdana menteri untuk mengarahkan pindaan dibuat sebelum laporan dibawa ke Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) pada 2016.

Katanya lagi, itu juga menjadi sebab kenapa Arul Kanda didakwa terlibat dalam meminda laporan tersebut.

"Keputusan siasatan saya mendapati perkara ini dibuat oleh tertuduh pertama dan kedua (Arul Kanda dan Najib) untuk melindungi diri mereka daripada sebarang tindakan sivil atau jenayah berkaitan operasi 1MDB," dakwanya.

Hanif yang merupakan pegawai siasatan bagi kes tersebut berkata Arul Kanda bersubahat dengan Najib dalam pindaan laporan audit 1MDB pada 24 Februari 2016 sebelum ia dibawa ke PAC.

"Tertuduh kedua (Najib) dalam kes ini mengarahkan Shukry Mohd Salleh, ketika itu ketua setiausaha sulit kepada perdana menteri, untuk dapatkan laporan audit 1MDB dan serahkan salinan kepada tertuduh pertama (Arul Kanda), ketika itu CEO 1MDB, untuk diteliti," dakwanya lagi.

Arah mesyuarat

Katanya lagi, Najib kemudian mengarahkan mesyuarat diadakan di pejabatnya pada 22 Februari 2016, yang turut dihadiri Ambrin Buang (ketika itu ketua audit negara) dan Ali Hamsa (ketika itu ketua setiausaha negara).

Ketika mesyuarat itu, dakwanya, Najib mengarahkan Ali untuk mengadakan mesyuarat antara Jabatan Audit Negara dan dirinya untuk membincangkan sebarang isu yang ingin dibangkitkannya dalam laporan itu, dan laporan itu tidak akan diterbitkan selagi dia tidak memberi lampu hijau.
Ia membawa kepada satu lagi mesyuarat dua hari kemudian, pada 24 Februari 2016, yang dipanggil oleh Ali dan dihadiri Arul Kanda, dakwanya lagi.

Susulan mesyuarat itu, dakwanya, pindaan dibuat terhadap empat isu dalam laporan, antaranya berhubung dua versi berbeza penyata kewangan 1MDB untuk 2014, dan isu kehadiran Low Taek Jho dalam mesyuarat lembaga 1MDB.

"Susulan mesyuarat itu laporan auditi 1MDB, yang dibentang pada PAC pada 4 dan 7 Mac 2016, dipinda ekoran arahan daripada tertuduh kedua," katanya lagi.

Kenyataan saksi bertulis Hanif dibaca ketika pemeriksaan utama dengan timbalan pendakwa raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Rahmat Hazlan, saksi menafikan siasatan terhadap tertuduh dibuat secara tergesa-gesa dan tidak adil.

Rahmat bertanya berkenaan dakwaan siasatan yang pantas terhadap Najib pada 2018, di mana laporan SPRM dibuat pada 26 November, kenyataan Najib dirakam pada 6 Disember, Najib ditahan dan dibebaskan dengan ikat jamin pada 10 Disember, dan didakwa di mahkamah pada 12 Disember.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-