Wednesday, August 31, 2022

UMNO Kelantan sasar 35 kerusi DUN, 9 kerusi Parlimen pada PRU-15

bharian.com.my
Oleh Nor Fazlina Abdul Rahim 
nfazlina@bh.com.my
- Ogos 31, 2022 @ 6:25pm
Pengerusi Badan perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (kanan) menyampaikan bendera Barisan Nasional kepada ahlinya pada Majlis Pelancaran Jentera Veteran UMNO negeri Kelantan PRU-15 dan Perasmian Gerak Kerja Keluargaku Pengundi BN di Dewan Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas, Lubok Jong
NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

PASIR MAS: UMNO Kelantan menyasarkan 35 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan sembilan kerusi Parlimen di negeri itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata segala-galanya tidak mustahil sekiranya mereka bekerja keras.

"Kalau orang kata kita bercita-cita besar, tidak mengapa kerana setiap perkara perlu dimulakan dengan cita-cita. Insya-Allah dengan izin Allah kita akan memperoleh sasaran berkenaan.

"Untuk kerusi Parlimen juga tidak mustahil memandangkan pada PRU-11 iaitu pada 2004, kita pernah memperoleh kemenangan sembilan kerusi Parlimen," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Veteran UMNO Kelantan PRU-15 di Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Jazlan yang juga Ahli Parlimen Machang berkata, pihaknya juga sedang menyenaraikan calon untuk PRU-15 sebelum diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bulan depan.

"Calon yang akan dikemukakan kali ini adalah kombinasi calon baharu dan calon lama membabitkan pelbagai latar belakang.

"Kita akan pastikan calon yang dikemukakan nanti adalah layak dan mendapat sokongan daripada pengundi. Selain orang muda atau muka baharu, calon wanita juga diberi peluang untuk bertanding.

"Senarai calon berkenaan akan diserahkan ketika saya mengadakan pertemuan dengan Presiden parti bulan depan," katanya.

Justeru, beliau merayu kepada rakyat Kelantan supaya memberi peluang kepada UMNO untuk membuktikan bahawa mereka mampu melakukan lebih baik berbanding pemerintahan sedia ada.

"Saya beri jaminan akan melakukan lebih baik supaya manfaat semaksimum mungkin dikecapi oleh rakyat, malah apa perkara baik yang dilakukan PAS juga akan diteruskan," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-