Wednesday, August 17, 2022

Zahid ajak akar umbi pertahankan ‘Raja Media Sosial’ Najib

agendaily.com
17/08/2022
Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berdepan 87 pertuduhan di mahkamah, termasuk jenayah rasuah, manakala bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah dihukum penjara 12 tahun dan denda selain berdepan banyak lagi tuduhan melibatkan 1MDB. Semua kes itu dilakukan ketika Barisan Nasional dan UMNO menjadi kerajaan sebelum 2018 lalu.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengajak akar umbi UMNO untuk terus mempertahankan rakannya, Datuk Seri Najib Razak yang akan dibicarakan dalam kes rasuahnya di Mahkamah Persekutuan esok.

Gesaan Presiden UMNO itu dibuat selepas permohonan Datuk Seri Najib Razak ditolak semalam dan perbicaraan kes rasuah SRC International Sdn Bhd tidak akan ditangguh dan jika kekal bersalah bakal dihantar terus ke penjara.

“Marilah kita terus bersatu hati, bersolidariti bersama DS Najib Tun Razak. Jangan putus asa. Terus tabah dan terus berjuanglah bersama kita.

“Terlalu banyak jasa dan sumbangan beliau telah berikan untuk UMNO, BN (Barisan Nasional) dan kerajaan BN yang tak akan dapat dilupuskan dalam sejarah negara,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Zahid juga mengiiktiraf Najib sebagai “Raja Media Sosial” yang berjaya memulihkan UMNO lebih cepat dan bangkit daripada kekalahan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lalu.

“Perlu diakui media sosial FB (Facebook) Najib sangat berpengaruh di negara ini. Beliau ialah Raja Media Sosial dan berjaya membantu memulihkan UMNO lebih cepat hingga mereka yang pernah menjauhi dan memperlekeh UMNO sebelum ini dilihat bukan sahaja mahu mendekati malah mahu menguasai UMNO pula sekarang.

“Insya Allah kita di setiap akar umbi cawangan dan bahagian UMNO dan BN akan terus bersama DS Najib Razak dan susah senang bersama,” katanya lagi.

Tidak seperti sebelum ini, penyokong Najib dilihat sangat kurang hadir di Istana Kehakiman, Putrajaya bagi memberi sokongan kepada bekas Perdana Menteri yang sedang berdepan perbicaraan akhirnya.

Hanya terdapat segelintir penyokong Najib yang berkumpul bagi memberi sokongan kepadanya kali ini.

Untuk rekod, Zahid juga sedang berdepan puluhan pertuduhan dan sedang dibicarakan di mahkamah atas salah laku rasuah dan penyelewengan.

Terdahulu semalam, panel lima hakim mahkamah tertinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak permohonan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan yang dikaitkan dengan kes rasuah SRC International bernilai RM42 juta.

Panel hakim juga sebulat suara menolak permohonan Najib untuk meminta penangguhan perbicaraan rayuan utama dan akhir kes SRC International selama beberapa bulan.

Tengku Maimun memutuskan bahawa pihak berkenaan mengetahui tarikh perbicaraan yang ditetapkan dari 15 hingga 26 Ogos dan sepatutnya mengambil segala usaha untuk bersiap sedia.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-