Sunday, September 18, 2022

"Jika nak sejarah PRU-14 berulang, silalah (tanding solo)" - Idris

bharian.com.my
Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
bhnews@bh.com.my
 - September 18, 2022 @ 11:37am
Idris ketika sidang media selepas program Berjalan Teguh Bersama Datuk Idris Ahmad di Dataran Tarbiah Bukit Gantang. - NSTP/ SHAIFUL SHAHRIN AHMAD PAUZI

BUKIT GANTANG: PAS mengingatkan UMNO bahawa nasibnya ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) mungkin berulang sekiranya parti itu terus bertegas untuk terus bertanding secara solo.

Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad, berkata walaupun UMNO kekal dengan pendirian sedemikian, PAS akan terus berusaha untuk merapatkan hubungan parti itu bersama dua lagi parti dominan orang Melayu dan Islam iaitu UMNO dan BERSATU.

"Kita akan buat sampai rapat dinding. Kita akan usaha (rapatkan hubungan PAS, UMNO dan BERSATU) dan akhirnya rakyat yang akan menilaikannya sendiri," katanya.

"Biarlah parti itu (UMNO) dengan konsep mereka (nak bertanding secara solo dalam PRU-15)

"Jika nak sejarah PRU-14 berulang, silalah berbuat begitu. Tapi kita (PAS) tetap dengan konsep perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program Berjalan Teguh Bersama Datuk Idris Ahmad di Dataran Tarbiah Bukit Gantang, di sini, hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan Presiden UMNO, Tun Musa Hitam menyatakan tiga parti dominan orang Melayu dan Islam iaitu UMNO, PAS dan BERSATU, perlu bergabung menjadi satu kumpulan parti politik yang memperjuangkan bersama kepentingan orang Melayu serta Islam.

Ketika menyarankan demikian, beliau berkata walaupun tiga parti itu bergabung membentuk satu naungan di bawah 'khemah' politik yang sama, ia masih belum cukup kuat dan meluas dari segi pengaruh serta tarikan seperti PKR.

Justeru, Musa menyarankan UMNO, PAS dan BERSATU sekiranya bergabung di bawah 'khemah' yang sama, perlu memberi jaminan kepada bangsa lain sebagai tumpuan perjuangan mereka.

Sementara itu, Idris berkata, PAS tidak melihat sokongan bangsa Melayu khususnya golongan muda kini menjurus ke arah parti pembangkang.

Beliau berkata, ia jelas dibuktikan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor, di mana Pakatan Harapan (PH) hilang kerusi apabila kawasan ditandingi mereka dipelopori bangsa Melayu.

"Kita tak nampak sokongan orang Melayu khususnya golongan muda kini kepada PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) atau DAP.

"Keputusan PRN di Melaka dan Johor lalu jelas membuktikan sokongan Melayu tidak memihak kepada mereka apabila hilang kawasan yang mereka bertanding di mana kawasan terbabit majoritinya adalah bangsa Melayu Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-