Saturday, September 24, 2022

PRU15 : Zahid boleh jadi ‘poster boy’ BN, kata penganalisis

puteradaily.com
September 24, 2022 2:00 pm
Ahmad Zahid Hamidi berpeluang muncul sebagai ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum akan datang susulan pembebasannya daripada 40 pertuduhan rasuah semalam, kata seorang penganalisis.

Menurut Felo Majlis Profesor Jeniri Amir, beliau tidak melihat sebarang sebab mengapa presiden Umno itu tidak boleh diketengahkan, selepas berdepan perbicaraan di mahkamah sejak sekian lama.

Sambil menyatakan Zahid masih menghadapi 47 pertuduhan rasuah membabitkan Yayasan Akalbudi, Jeniri berkata potensi masih ada untuk beliau menjadi wajah mewakili BN pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Ini akan meningkatkan semangat dan keyakinannya. Saya rasa ini antara halangan yang lebih besar (untuk Zahid).

Beliau berkata Umno telah menyokong Zahid, manakala naib presiden Ismail Sabri Yaakob adalah perdana menteri, kerana beliau adalah tokoh parti paling kanan dalam kerajaan.

Penyokong Zahid juga akan menggunakan pembebasannya dalam perbicaraan skim visa sebagai sebahagian daripada naratif bagi mendapatkan sokongan untuknya.


Bagaimanapun, seorang penganalisis politik Wong Chin Huat berpendapat beliau tidak pasti pembebasan itu membuka peluang Zahid menjadi ‘poster boy’ kerana belum terlepas sepenuhnya.

“Zahid masih mempunyai pertuduhan pecah amanah jenayah berkaitan yayasan miliknya. Jika sabit kesalahan, beliau akan hilang kelayakan daripada memegang jawatan presiden Umno dan pengerusi BN,” kata Wong yang menjangkakan peguam negara akan memfailkan rayuan terhadap pembebasan Zahid.

Wong berkata keadaan itu menyebabkan Umno kekal menjadikan Ismail sebagai ‘poster boy’.

Dua penganalisis Azmi Hassan dari Akademi Nusantara dan James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania menjangkakan pembebasan itu akan menyebabkan pilihan raya umum diadakan pada tahun ini.

Azmi berkata desakan Zahid untuk pilihan raya awal bukan mengenai dirinya tetapi kedudukan Umno selepas mencapai kemenangan dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor.

“Saya fikir kemungkinan besar, musim tengkujuh atau tidak, pilihan raya akan diadakan menjelang akhir tahun ini,” kata Azmi.

Chin pula berkata Zahid kini berpeluang untuk mendakwa bahawa pertuduhan dikenakan terhadapnya adalah bermotifkan politik.

Zahid dibebaskan daripada 40 pertuduhan menerima rasuah daripada sebuah syarikat untuk melanjutkan kontrak sistem visa asing. Mahkamah Tinggi Shah Alam memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadap presiden Umno itu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-