Saturday, October 1, 2022

Inilah amaran Zahid kepada Ismail Sabri, kata Ketua UMNO digantung

agendaily.com
1/10/2022
Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Datuk Mohd Yusof Ismail mendakwa penggantungan keahliannya dibuat oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bukan keputusan Majlis Tertinggi.

Ketua UMNO Bahagian Alor Setar Datuk Mohd Yusof Ismail menganggap penggantungannya sebagai ahli UMNO bersama bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman semalam, adalah isyarat daripada Presiden parti Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob supaya mempercepatkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, Zahid seboleh-bolehnya mahu supaya Parlimen dibubarkan segera agar PRU-15 dapat dilaksanakan pada bulan ini juga.

“Saya fikir tindakan ini (penggantungan) adalah mesej yang nak disampaikan kepada Perdana Menteri (Naib Presiden UMNO) sebab kedua-dua kami merupakan penyokong kuat Perdana Menteri, terutamanya dalam kumpulan Ketua Bahagian.

“Apa pun, saya tetap UMNO dan darah masih ‘biru’ (Barisan Nasional). Kita tunggu sajalah enam tahun, tak lama pun… Cuma enam kali raya saja,” katanya memetik laporan Warta Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut katanya, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi dari UMNO berhubung tindakan dikenakan terhadapnya dan hanya dimaklumkan mengenai perkara itu oleh rakan-rakan MT yang hadir dalam mesyuarat, malam tadi.

“Keputusan ini memang mengejutkan sebab saya tak tahu masalah apa yang saya timbulkan. Kalau saya buat salah, tak ada pula Lembaga Disiplin parti panggil.

“Saya difahamkan selepas mengumumkan tindakan terhadap kami semalam, Presiden terus keluar dari bilik mesyuarat tanpa ada perbincangan.

“Maknanya bukan MT yang buat keputusan sebaliknya Zahid yang buat dan klausa mana digunakan, saya pun tak tahu,” katanya.

Mohd Yusof dalam pada itu memaklumkan, beliau sejak dari awal lagi sudah menyatakan kepada Presiden yang dirinya tidak berniat untuk bertanding dalam PRU-15 walaupun namanya disebut-sebut sebagai antara individu yang akan diangkat sebagai calon sekirangnya UMNO diberi ruang bertanding di Parlimen Alor Setar bagi menggantikan MCA.

“Saya awal-awal dah beritahu yang tak minat bertanding. Cumanya kita mahukan kerusi Parlimen Alor Setar itu diberikan kepada UMNO berbanding MCA, BN mampu merampas kerusi di situ. Itu saja,” katanya.

Sebelum ini, Tajuddin turut membidas Zahid dengan mendakwa terlibat dalam surat sokongan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri, semasa krisis politik sebelum ini.

Sementara Mohd Yusof pula sebelum ini menawarkan kerusi Parlimen Alor Setar kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta untuk memberi laluan kepadanya bertanding di kerusi disandangnya di Rembau.

Untuk rekod, Tajuddin dan Yusof sebelum ini dilihat cenderung mempertahankan Ismail Sabri ekoran serangan dihadapinya daripada kem Zahid.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-