Oleh Faris Fuad - Oktober 12, 2022 @ 12:40pm
faris.fuad@bh.com.my
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak
KUALA LUMPUR: Persoalan berbangkit di Mahkamah Tinggi hari ini, sama ada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara, dibenarkan menjadi calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) atau sebaliknya.Ia berdasarkan keputusan permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Jabatan Penjara tidak membenarkan Najib menghadiri persidangan Dewan Rakyat, yang mungkin memberi kesan secara langsung kepada peluang Najib bertanding pada PRU-15.
Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, berkata perkara itu penting kerana bekas Perdana Menteri itu, mempunyai hak mengikut Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan.
"Najib mempunyai hak hadir ke Parlimen. Peruntukan undang-undang memberi hak kepada banduan untuk ditemani (dan hadir ke Parlimen).
"Namun, laporan mengatakan Parlimen dibubarkan, soalan berbangkit sama ada Najib boleh hadir ke tempat pencalonan dan dicalonkan (pada PRU-15).
"Perkara ini boleh dipertikaikan mengikut Perkara 48 dan sebab itu, saya cadangkan kes permohonan semakan kehakiman seawal Jumaat ini," katanya pada pengurusan kes itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, hari ini.
Terdahulu, Peguam Persekutuan, M Kogilambigai yang mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC), memohon tarikh pendengaran kes itu ditetapkan sekurang-kurangnya seminggu dari hari ini.
Ia berikutan AGC memerlukan masa untuk meneliti permohonan difailkan bekas Perdana Menteri itu.
"Sekiranya terdapat bantahan (berhubung permohonan), pihak kami akan memaklumkan kepada mahkamah," katanya.
Mahkamah kemudian memutuskan 19 Oktober ini untuk pendengaran kes berkenaan.
Menerusi notis permohonan semakan kehakiman itu, Najib yang bertindak sebagai pemohon, menamakan Kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Jabatan Penjara sebagai responden.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon antaranya perintah certiorari untuk mengetepikan keputusan Komisioner Jeneral Penjara, yang tidak membenarkannya mendapatkan akses kepada pegawai atau pembantu bagi tujuan menjalankan kerja di kawasan Parlimennya.
Najib juga memohon perintah sama untuk mengetepikan keputusan Komisioner Jeneral Penjara yang tidak membenarkannya hadir pada persidangan Dewan Rakyat.
Turut dimohon, perintah mandamus supaya responden mengambil semua langkah perlu untuk membenarkannya menghadiri sidang Dewan Rakyat pada tarikh yang sudah ditetapkan dan relif, perintah serta lain-lain arahan yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Dalam afidavit sokongannya, Najib berkata, Menteri Dalam Negeri dan Komisioner Jeneral Penjara melalui Penjara Kajang pada 28 September lalu, menyampaikan keputusan menolak permohonannya untuk menghadiri sidang Parlimen atas alasan keselamatan.
Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Najib mengemukakan rayuan kepada Menteri Dalam Negeri pada 30 September lalu dan oleh kerana sidang bermula pada 3 Oktober lalu, beliau memohon supaya keputusan dipercepatkan.
Oleh kerana tiada sebarang jawapan, Najib memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman.
Katanya, berdasarkan Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, beliau mempunyai kewajipan dari segi Perlembagaan untuk melaksanakan tugas dengan efektif sebagai Ahli Parlimen Pekan.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.