Saturday, October 8, 2022

Naratif ‘anti-Melayu’ makin kuat, DAP dijangka berdepan masa sukar pada PRU15

freemalaysiatoday.com
K. Parkaran
-October 8, 2022 7:00 AM
Jika senario pasca PRU15 memerlukan pembentukan gabungan, penganalisis menjangkakan DAP akan menjadi yang paling rugi kerana parti-parti Melayu berkemungkinan besar akan bersatu.

PETALING JAYA: Selepas menunjukkan prestasi yang baik dalam tiga pilihan raya umum lalu, DAP dijangka berdepan kesukaran pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) susulan perubahan formula politik, menurut beberapa penganalisis.

Mereka berpendapat, cabaran terbesar bagi parti itu adalah untuk meraih undi Melayu di kawasan separa bandar dan luar bandar berikutan naratif dimainkan Umno dan PAS bahawa DAP anti Islam dan anti-Melayu mendapat sambutan sebilangan besar orang Melayu.

Dan jika senario pasca PRU15 memerlukan pembentukan gabungan, mereka menjangkakan DAP akan menjadi yang paling rugi kerana parti-parti Melayu berkemungkinan besar akan bersatu atas nama perpaduan kaum dan agama.

James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, DAP tidak pernah berjaya mengikis imej negatifnya dalam kalangan orang Melayu luar bandar yang menjadi penentu di 40% daripada 222 kawasan Parlimen.

“Parti itu sepatutnya meletakkan lebih ramai calon Melayu di kawasan majoriti Cina atau kubu kuat DAP,” katanya kepada FMT.

“Tiada gunanya meletakkan calon Melayu di kawasan di mana mereka akan berdepan kesukaran dan berkemungkinan kalah.

“Akhirnya DAP perlu menambah bilangan wakil rakyat Melayu. Ini satu-satunya cara untuk menunjukkannya keikhlasan dalam dakwaannya mahu menjadi (parti) yang benar-benar berbilang kaum.”

Chin berkata, langkah itu juga berkesan untuk memaksa komuniti Cina menyemak semula pandangan mereka terhadap perwakilan politik.

“Di Malaysia, terdapat idea yang pelik bahawa sesebuah komuniti hanya boleh diwakili seseorang daripada kumpulan etnik yang sama.”

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata, DAP mendapat manfaat daripada undi Melayu pada PRU lalu kerana kempen Pakatan Harapan (PH) dibantu Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin.

“Mereka membuat banyak perbezaan dalam menarik undi Melayu untuk PH,” katanya kepada FMT.

“Sekarang mereka dalam kem berbeza, sukar bagi DAP untuk menarik undi Melayu.

“Dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), PAS dan Gerakan Tanah Air semuanya bergantung kepada undi Melayu untuk menang, 80% hingga 90% undi Melayu dijangka dikongsi oleh parti-parti ini.”

Bagaimanapun, kata Azmi, pengundi Melayu bandar dan separa luar bandar baharu yang berusia antara 18 dan 30 tahun mungkin dapat memberi kelebihan kepada DAP. Ramai dalam kalangan pengundi ini nampaknya tidak cukup dipengaruhi oleh retorik kaum dan agama.

“Namun ia tetap akan menjadi cabaran kepada DAP kerana perlu berkongsi undi-undi ini dengan peserta baharu, Muda dan Warisan. Ini akan menjejaskan PH secara keseluruhannya.”

Bagaimanapun, Sivamurugan Pandian daripada Universiti Sains Malaysia berkata, beliau percaya serangan meluas terhadap DAP menggunakan isu kaum dan agama hanya akan menyukarkan pesaingnya untuk memenangi sokongan bukan Melayu.

“Pengundi yang lebih berpendidikan cenderung kurang dipengaruhi oleh kempen menggunakan agama dan etnik,” katanya.

“Mereka lebih bimbang tentang kenaikan kos sara hidup, rasuah dan ringgit yang semakin lemah.”

Beliau menjangkakan DAP akan mengekalkan kebanyakan kerusinya tanpa mengira siapa calonnya.

Mengenai pengundi baharu pula, Sivamurugan berkata, corak pengundian mereka mungkin bergantung pada pengaruh ahli keluarga dan rakan sebaya.

“Mereka juga sekarang lebih arif tentang politik, dengan media sosial menjadi sumber maklumat utama mereka,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-