Friday, October 7, 2022

PM wajar tamatkan spekulasi PRU, elak keadaan negara tidak menentu

agendaily.com
07/10/2022
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu mengambil nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia.
Daripada terus mengekalkan negara dalam keadaan ketidaktentuan, Perdana Menteri (PM) Datuk Ismail Sabri Yaakob perlu menamatkan spekulasi mengenai pilihan raya umum (PRU) bakal diadakan tahun ini supaya rakyat Malaysia dapat menumpukan perhatian kepada usaha lain, termasuk bantuan musim bencana yang akan datang.

Pengerusi DAP Lim Guan Eng berkata PM perlu mengambil nasihat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) supaya tidak mengadakan PRU-15 apabila beberapa kawasan di negara ini akan menghadapi musim tengkujuh mulai Novembe ini hingga Mac tahun depan.

“Ismail Sabri harus secara terbuka menghentikan usaha mementingkan diri sendiri oleh Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi untuk mengadakan pilihan raya umum awal pada tahun ini, walaupun terdapat risiko kepada nyawa dan harta benda akibat banjir teruk.

“(Ismail Sabri) perlu mengumumkan secara muktamad bahawa pilihan raya umum akan diadakan selepas Mac tahun depan apabila musim tengkujuh sudah berakhir.

“Apa gunanya ada Jabatan MetMalaysia jika Ismail Sabri enggan menerima nasihat pakar mereka?” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Strategik dan Teknikal) MetMalaysia Dr Mohd Hashim Mohd Anip mencadangkan supaya PRU tidak diadakan tahun ini.

Daripada sudut pandangan komuniti pengurusan bencana, kerana akan terdapat banyak lokasi di seluruh Malaysia yang akan menghadapi bencana banjir, kata Guan Eng memetik kenyataan Dr Mohd Hashim.

“Hashim berkata musim tengkujuh yang dijangka bermula pertengahan November dan berakhir Mac tahun depan, berkemungkinan akan menyaksikan hujan lebat berterusan di Kelantan, Terengganu dan Pahang, antara November dan Disember.

“Episod hujan yang sama juga dijangka berlaku di Johor, Sabah dan Sarawak antara Disember tahun ini dan Februari tahun depan. Hujan lebat juga boleh berlaku di Pantai Barat Semenanjung,” kata Guan Eng lagi.

Untuk rekod, MetMalaysia meramalkan Malaysia bakal mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November depan, yang sekali gus akan menyebabkan banjir besar pada penghujung bulan itu.

Cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif dalam tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.

Terdahulu terdapat banyak cakap-cakap mengenai kemungkinan Parlimen dibubarkan apabila PM menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, semalam.

Bagaimanapun, Istana Negara dalam kenyataan setelah pertemuan itu memaklumkan majlis menghadap berkenaan adalah pertemuan mingguan antara Yang di-Pertuan Agong dan PM. Tiada isu pembubaran Parlimen disentuh.

Sebelum ini, UMNO – Ismail Sabri adalah Naib Presiden parti – yang mempunyai 36 daripada 222 kerusi Parlimen mendesak PRU diadakan segera, sekali gus mencipta sejarah negara kerana dibuat oleh kumpulan minoriti parti politik.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-