Thursday, October 27, 2022

Pakatan Umno, PAS, Bersatu mampu ‘tamatkan’ karier politik Anwar di Tambun

freemalaysiatoday.com
FMT Reporters
-October 27, 2022 12:36 PM
Mohd Zuhdi Marzuki berkata, jika Anwar Ibrahim kalah di Parlimen Tambun, ia juga akan menggagalkan usaha DAP untuk menjadikan Perak sebagai negeri ke-4 ditawan PH.

PETALING JAYA: Umno, PAS dan Bersatu perlu membentuk pakatan pilihan raya di Tambun jika mahu melihat karier politik Anwar Ibrahim “tersungkur” di Parlimen berkenaan, kata seorang pemimpin PAS.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Mohd Zuhdi Marzuki berkata, Parlimen Tambun dan dua DUN di bawahnya, iaitu Hulu Kinta dan Manjoi, boleh ditawan oleh parti Melayu jika Umno memberi laluan kepada Ahmad Faizal Azumu daripada Bersatu bertanding di Tambun, calon Umno bertanding di Hulu Kinta dan calon PAS di Manjoi.

Tambun ialah kubu kuat Barisan Nasional (BN), namun jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) apabila Bersatu berada dalam gabungan PH ketika itu.

Bagaimanapun, Bersatu keluar daripada PH susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Parlimen Tambun kini dipegang Bersatu, menerusi Faizal, sementara DUN Hulu Kinta dan DUN Manjoi milik PH.

Zuhdi berkata, dalam situasi semasa, setelah Bersatu meninggalkan PH, sokongan pengundi Melayu yang tinggal kepada PH di Parlimen Tambun hanya sekitar 10% sahaja.

“Lagi 90% sokongan pengundi Melayu dengan BN atau PN. Sokongan pengundi Melayu seperti ini, yang sebahagian besarnya tidak berpihak kepada PH, boleh menyebabkan Anwar tersungkur.

“Yang menjadi halangan terbesar untuk melihat Anwar tersungkur di Parlimen Tambun ialah sokongan pengundi Melayu terbahagi, sebahagian kepada Umno dan sebahagian lagi kepada Bersatu.

“Sebab itu, formula untuk memastikan Anwar tersungkur di Parlimen Tambun ialah pakatan pilihan raya (electoral pact) antara Umno, PAS dan Bersatu,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, jika Anwar kalah di Tambun, ia juga akan menggagalkan usaha DAP untuk menjadikan Perak sebagai negeri keempat ditawan PH selepas Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor.

“Perjalanan politik Anwar akan ternoktah dengan formula ini. Jika ini boleh berlaku, satu pertiga daripada punca krisis politik Malaysia yang tidak berkesudahan dapat dihilangkan,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-