Monday, October 10, 2022

Pemimpin UMNO bergelumang rasuah, PH pula tak tepati janji: Muhyiddin

agendaily.com
10/10/2022
Pengerusi Perikatan Nasional yang juga Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya rakyat akan memilih Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang, dan menolak Pakatan Harapan (PH) serta UMNO/Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PN itu berkata antara sebab UMNO dan BN akan ditolak oleh rakyat adalah kerana pemimpinnya yang sudah terpalit dan bergelumang dengan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

Manakala, PH pula terkenal dengan kegagalan mereka untuk menyempurnakan janji yang dibuat setelah memenangi PRU-14, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, pemimpin tertinggi UMNO sebelum ini iaitu bekas presiden parti Datuk Seri Najib Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah disabitkan dengan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Najib juga masih berdepan puluhan lagi tuduhan jenayah, termasuk rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Penyelewengan berbilion-bilion ringgit dana 1MDB itu menjadi skandal kewangan terbesar dalam sejarah dunia diakukan pemimpin UMNO dan BN ketika mereka memerintah hingga memalukan negara.

Persoalan yang timbul ialah sama ada rakyat akan memilih kumpulan yang sejarah mereka terpalit dengan rasuah, salah guna kuasa, tidak amanah serta tidak menepati janji, ketika memerintah.

Sedangkan selama pentadbiran PN dilihat cekap dalam menangani isu ekonomi rakyat dan negara, selain berjaya menangani pandemik global Covid-19 yang melanda, walaupun tidak sampai dua tahun memerintah Malaysia.

Mengulas mengenai PRU-15, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata gabungan PN yang dianggotai Bersatu, PAS, Gerakan, SAPP dan STAR sudah bersedia dengan tawaran baharu yang lebih baik kepada rakyat Malaysia jika menang nanti.

“Saya menegaskan sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak, semangat yang ditunjukkan pada malam ini membuktikan Perikatan Nasional sudah bersedia untuk berhadapan dengan pilihan raya.

“Perikatan Nasional juga sudah bersedia dengan tawaran baharu yang lebih baik untuk rakyat selari prinsip PN yang sentiasa mengutamakan rakyat dengan jika menang nanti.

“Saya percaya rakyat akan memilih PN kerana ia merupakan pilihan terbaik masa ini berbanding Pakatan Harapan yang terkenal kerana tidak menyempurnakan janji manakala UMNO dan BN pula sudah terpalit dan bergelumang dengan isu rasuah, penyelewangan dan salah guna kuasa, insya-Allah,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-