Sunday, October 9, 2022

PH bakal umum Anwar tanding di Tambun bukan Bagan Datuk?

agendaily.com
09/10/2022
Anwar sepatutnya bertanding di Bagan Datuk, kerusi disandang anak muridnya.

Pakatan Harapan (PH) dijangka mengumumkan Pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) pada 29 Oktober nanti.

Ironinya, kerusi Tambun yang berada dalam negeri Perak menjadi sasaran Presiden PKR itu untuk mencabar Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tetapi PH tidak pula mahu meletak Anwar untuk mencabar anak muridnya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Presiden UMNO di Bagan Datuk.

Konvensyen Nasional gabungan itu yang dijadualkan berlangsung di Perak, 29 Oktober ini dan dijangka pengumuman akan dibuat pada majlis tersebut.

Pengerusi PH Perak, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata pihaknya sangat mengalu-alukan Anwar bertanding di kerusi Parlimen Tambun.

“Kita telah dimaklumkan begitu dan selaku Pengerusi PH Perak, saya amat mengalu-alukan beliau bertanding di kerusi itu pada PRU-15.

“Pencalonannya untuk bertanding di kerusi berkenaan akan memberi penghormatan besar kepada kami di Perak, malah ketokohan beliau akan menguntungkan PH negeri ini.

“Namun, sama ada Anwar bertanding di Parlimen Tambun atau tidak, ia hanya akan diumumkan pada konvensyen itu nanti,” katanya dipetik laporan BH.

Mujahid juga berkata ketokohan Presiden PKR itu dilihat mampu memberi kelebihan dan nilai tambah kepada pakatan berkenaan di negeri ini.

Sementara itu, Mujahid turut menafikan dakwaan Zahid kononnya pembangkang memberi alasan tidak munasabah menolak cadangan membubarkan Dewan Rakyat pada tahun ini sebagai menggambarkan mereka tidak bersedia berdepan PRU-15.

“Itu tanggapan dia (Ahmad Zahid). Kalau dia tengok program dianjurkan PH, saya rasa dia yang akan gerun, bukan kami yang gerun.

“Malah, kita tengok bab hendak membubarkan Parlimen pun mereka berbalah. Jadi, sebenarnya siapa yang huru-hara? Bukan PH kan?” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-