Saturday, October 8, 2022

PN sedia bentang bajet baharu jika tubuh kerajaan selepas PRU-15

agendaily.com
08/10/2022
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bersama Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada program Hari Sukan Negara di Putrajaya, hari ini (8 Oktober 2022).

Perikatan Nasional (PN) akan menawarkan satu belanjawan baharu yang lebih baik untuk rakyat dan negara sekiranya mampu menubuhkan kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yakin walaupun Parlimen akan dibubarkan sebelum Bajet 2023, kerajaan baharu PN akan membentangkan peruntukan yang baik untuk rakyat dan negara.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perasmian Hari Sukan Negara 2022, di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata belanjawan baharu perlu dibentangkan semula di Dewan Rakyat sekiranya PRU-15 diadakan sebelum Bajet 2023 diluluskan oleh Parlimen.

Pembentangan semula itu perlu dilakukan oleh kerajaan baharu yang dibentuk setelah keputusan PRU-15 diketahui. Ia pernah dilakukan pada 1999 ketika kerajaan diterajui Tun Dr Mahathir Mohamad.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang juga Menteri Belia dan Sukan enggan mendedahkan sama ada perkara berkaitan pembubaran Parlimen turut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Perkara dalam mesyuarat Kabinet tidak boleh didedahkan kepada umum. Saya sudah bersumpah dengan nama Allah SWT di hadapan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak bercerita mengenai apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet.

“Kalau saya ceritakan masuk neraka. Saya tak nak masuk neraka.

“Dia makan rasuah, salah guna kuasa dengan bersumpah dengan nama Allah, kemudian kita tak ikut masuk neraka,” katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang tidak bersetuju dengan tindakan 12 Menteri PN mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong berhubung pendirian PN itu menolak PRU-15 diadakan tahun ini, Ahmad Faizal berkata, pihaknya perlu menyampaikan hasrat mereka kepada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, ketika Ahmad banyak tidak bersetuju dengan Ahli Parlimen PN, mereka juga tidak bersetuju dengan pemimpin UMNO itu.

“Ini adalah sebuah negara berdemokrasi. Kami fikir kami perlu menyampaikan hasrat dipersembahkan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong.

“Ada pihak yang tak bersetuju, ada ramai juga yang bersetuju. Jadi tak perlu kita nak bergaduh. Saya menghormati beliau (Ahmad) dan saya fikir masing-masing boleh mengeluarkan pandangan,” katanya.

Setiausaha Agung UMNO itu sebelum ini berpandangan keabsahan kerajaan ketika ini semakin berkurangan dengan tindakan 12 menteri Kabinet daripada PN itu.

Ahmad dilaporkan berkata, langkah 12 menteri Kabinet PN itu mengurangkan sebanyak 40 peratus keabsahan kerajaan sedia ada serta melambangkan ketidakpercayaan kepada apa yang ingin dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun, Agenda Daily melaporkan tindakan 12 menteri Kabinet daripada PN menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong itu tidak boleh ditafsir hilangnya kepercayaan kepada Ismail Sabri, berbanding perbuatan UMNO sebelum ini.

Sebaliknya, pengkhianatan 15 ahli Parlimen (MP) daripada UMNO sebelum ini yang menarik sokongan kepada PN, dianggap lebih teruk sehingga kerajaan yang dibangunkan untuk membela rakyat telah tumbang.

Beza tindakan 12 menteri PN hantar surat dengan khianat 15 MP UMNO

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-