Saturday, October 8, 2022

Zuraida secara rasmi dilantik presiden baru PBM

malaysiakini.com
Bernama
Diterbitkan: Oct 8, 2022 10:43 AM
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin kini menerajui Parti Bangsa Malaysia (PBM) setelah dilantik sebagai presiden baru parti itu semalam menggantikan Larry Sng Wei Shein.

Pelantikan ahli parlimen Ampang itu dibuat pada mesyuarat Majlis Tertinggi PBM yang berlangsung semalam setelah mesyuarat berkenaan mengesahkan tujuh usul yang diluluskan semasa Persidangan Agung Tahunan (PAT) 2022 di Shah Alam pada 1 Oktober lepas, termasuk meletakkan Zuraida sebagai presiden PBM.

"Majlis Tertinggi yang bersidang semalam telah meneliti dan menjalankan proses yang wajar serta bersesuaian dengan garis panduan perlembagaan parti telah mengangkat Zuraida sebagai presiden,” kata Setiausaha Agung PBM Nor Hizwan Ahmad dalam kenyataan hari ini.

"Majlis Tertinggi dan seluruh ahli parti mengucapkan tahniah atas pelantikan ini dan mendoakan Zuraida terus diberi kekuatan bagi menerajui parti untuk terus cemerlang dalam memberi khidmat terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya dan beliau turut berterima kasih kepada Sng yang juga ahli parlimen Julai kerana telah memimpin parti sebelum ini.

Pada 26 Mei lepas, Zuraida mengumumkan keluar daripada Bersatu dan menyertai PBM.

Zuraida dilantik sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selepas kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018 oleh Perdana Menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad.

Dia dilantik semula ke jawatan sama semasa pentadbiran Muhyiddin Yassin sebelum bertukar ke portfolio Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di bawah Ismail Sabri Yaakob.

PBM didaftarkan pada 27 Okt 2021 dan diasaskan oleh Mohamad Sukri Yusri yang juga presiden pertamanya dan beberapa ahli politik lain selepas mengambil alih Parti Pekerja Sarawak (SWP).

Sng mengambil alih jawatan presiden pada Jan 2022 dan ketika ini, termasuk Zuraida dan Sng, PBM mempunyai enam orang ahli parlimen termasuk Steven Choong (Tebrau); Mohammadin Ketapi (Lahad Datu); Datuk Dr Xavier Jayakumar (Kuala Langat) dan Dr Santhara Kumar (Segamat).

-Bernama

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-