Saturday, October 8, 2022

UMNO atau BERSATU, mana yang jadi pilihan PAS diketahui hari ini

bharian.com.my
Oleh Suzalina Halid
suzalina@bh.com.my
 - Oktober 8, 2022 
KUALA LUMPUR: Ibu Pejabat PAS hari ini menjadi tumpuan, apabila kepemimpinan parti itu mengadakan mesyuarat membincangkan hala tujunya, berhubung kata dua diberikan UMNO dalam membina semula kerjasama menerusi Muafakat Nasional (MN) bagi mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Selepas bekerjasama menerusi MN, langkah PAS menjadi komponen dalam Perikatan Nasional (PN) bersama BERSATU serta GERAKAN tidak disenangi UMNO, mendorong kepemimpinan parti itu memberi kata dua kepada PAS untuk memilih di antara UMNO dan BERSATU.

Sebelum ini, kepemimpinan PAS menegaskan mereka mahu berusaha membawa UMNO dan BERSATU untuk bersama dalam mendepani PRU-15 demi memastikan tiada pertembungan di antara parti-parti itu dalam berdepan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU-15.

Setakat jam 10 pagi ini, beberapa pemimpin utama PAS sudah tiba untuk menghadiri mesyuarat itu, termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, selaku Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, belum kelihatan tiba walaupun beliau juga dijangka menghadiri pertemuan itu.

Sebelum ini, PAS menyatakan akan memutuskan rakan ta'awun (kerjasama) parti itu bagi menghadapi PRU-15 dalam mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat, hari ini.

Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad, dilaporkan berkata mesyuarat hari ini akan memutuskan, sama ada PAS memilih Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) sebagai rakan kerjasama dalam PRU15.

Tindakan itu dibuat selepas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, memberikan kata dua buat PAS untuk menyatakan pendirian dalam masa terdekat sama ada ingin menjalinkan kerjasama dengan BN atau tidak.

Ahmad Zahid berkata, syarat utama bagi PAS jika ingin menjalinkan kerjasama dengan BN ialah perlu memutuskan hubungan dengan PN dan BERSATU.

Dua hari lalu, Hadi memberi gambaran parti itu akan terus mengusahakan kerjasama antara parti Melayu utama termasuk UMNO dan BERSATU.

Hadi dilaporkan berkata PAS pada masa sama akan tetap berpegang dengan pendekatan pertengahan atau konsep wasatiyyah bagi mempertahankan PN.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-