Friday, October 21, 2022

PRU15: Anwar janji kurangkan gaji, bilangan Kabinet jika jadi PM

bharian.com.my
Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri 
bhnews@bh.com.my
- Oktober 21, 2022 
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC). - Foto NSTP/Danial Saad

IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berjanji perkara pertama yang akan dilakukannya jika diberikan mandat sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) adalah memotong kadar gaji dan elaun Perdana Menteri.

Ketua Pembangkang itu berkata, beliau sedia untuk gaji dan elaunnya dipotong yang akan menjadi tindakan pertama dilakukan sebaik sah bergelar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Anwar turut menegaskan, pengurangan dan pemotongan gaji juga dilakukan ke atas semua barisan Jemaah Menteri serta memberi jaminan bilangan anggota Kabinet akan dikurangkan.

"Ini kesediaan saya dan ia tidak mustahil kerana yakin kesedaran rakyat. Kalau mahu Anwar jadi Perdana Menteri, Kabinet mesti dikurangkan, gaji Perdana Menteri dan Menteri mesti dikurangkan kerana kita perlu beri contoh yang baik.

"Biar saya beri jaminan, jika 20 November nanti (bila) saya dinobatkan sebagai Perdana Menteri, yang pertama saya lakukan adalah potong gaji dan elaun Perdana Menteri.

"Saya hendak beritahu, kalau (dengan keadaan) ekonomi sekarang saya tak sanggup ambil gaji. Kita perlu kemuka barisan pimpinan yang kasih kepada rakyat dan barulah rakyat kasih," katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) Nasional di Pusat Konvensyen Ipoh (ICC), di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution; Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-