Thursday, October 6, 2022

Tiada agenda tergempar, hanya mesyuarat biasa bincang manifesto PRU15, kata Ahmad

freemalaysiatoday.com
Bernama
-October 6, 2022 11:15 PM
Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, pertemuan pucuk pimpinan tertinggi itu pada malam ini hanyalah perjumpaan rutin yang sering diadakan Umno.

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata, tiada sebarang agenda tergempar dibincangkan dalam mesyuarat parti itu malam ini.

Beliau berkata, pertemuan pucuk pimpinan tertinggi itu hanyalah perjumpaan rutin yang sering diadakan parti itu.

“Memang kami ada mesyuarat, siang ada mesyuarat, petang ada mesyuarat, malam ada mesyuarat. Perbincangan yang tajuk berbeza-beza, malam ini cuma mesyuarat biasa daripada siri mesyuarat-mesyuarat yang diadakan,” katanya ketika ditemui di Menara Dato Onn.

Ditanya jika antara intipati pertemuan itu membincangkan manifesto pilihan raya umum ke-15 (PRU15), beliau berkata, perkara itu normal untuk diketengahkan dalam mesyuarat parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin yang hadir kira-kira 7.40 malam tadi berkata: “Bincang manifesto,” jawabnya ringkas apabila ditanya mengenai kehadirannya pada malam ini.

Turut hadir Ketua Umno Wilayah Persekutuan, Johari Abdul Ghani yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Terdahulu, antara individu yang hadir dalam pertemuan itu adalah bekas ahli jawatankuasa (AJK) PAS Pusat, Mohd Khairuddin Aman Razali.

Mengulas kedatangan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu ke Ibu Pejabat Umno, beliau berkata, ia hanyalah kunjungan biasa.

“Pelbagai pihak datang berjumpa dengan kita. Sesiapa pun boleh berkunjung, termasuk duta-duta dan ini adalah persediaan yang biasa,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-