Sunday, October 16, 2022

UMNO yakin mampu tamatkan pemerintahan 32 tahun PAS di Kelantan

bharian.com.my
Nor Fazlina Abdul Rahim 
nfazlina@nstp.com.my
- Oktober 16, 2022 @ 10:27am
Ahmad Jazlan pada sidang media selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan di Kota Bharu, malam tadi. - NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) yakin mampu merampas Kelantan daripada pemerintahan PAS selama 32 tahun, mengambil kira situasi semasa serta maklum balas daripada pemimpin setempat.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata perkembangan mutakhir menunjukkan rakyat seolah-olah sudah bersedia untuk memberi sokongan kepada BN.

"Kita mempunyai keyakinan tinggi dan insya-Allah kita dapat menambah lagi jumlah kerusi yang dimenangi pada PRU14. Pada masa sama, maklum balas yang diterima pimpinan di peringkat akar umbi juga memaklumkan sokongan rakyat kini memihak kepada kita.

"Justeru kita sangat mengharapkan sokongan rakyat. Apa salahnya kali ini pilih BN," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan, di sini malam tadi.

Pada masa sama, Ahmad Jazlan berkata, BN Kelantan akan meletakkan calon di semua 14 kerusi Parlimen pada PRU15 nanti, selain 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri nanti.

"Apa yang pasti kita akan letak semua calon di kerusi Parlimen dan DUN bagi menentang PAS dan parti lain. Kita akan masuk PRU15 secara solo tanpa kerjasama dengan PAS yang sudah tegaskan pendirian mereka untuk bersama Perikatan Nasional (PN).

"Maka dengan sendirinya kita anggap hubungan dengan PAS dan Muafakat Nasional (MN) sudah terputus untuk PRU15," katanya .

Ahmad Jazlan berkata, BN Kelantan memberi tumpuan kepada sembilan kerusi Parlimen pada PRU15 nanti, namun enggan menamakan Parlimen berkenaan.

"Memang kita bertanding semua, namun sembilan kerusi ini akan diberi tumpuan. Saya tidak mahu dedahkan Parlimen mana kerana ini strategi kita. Sekiranya musuh tahu, sudah tentu mereka akan melakukan sesuatu," katanya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-