Diterbitkan: Nov 1, 2022 8:00 PM
Che Abdullah Mat Nawi
PRU15 | Salah sebuah kerusi yang dilihat sebagai kawasan putih buat PAS di Kelantan dilaporkan membuat bantahan senyap apabila pemimpin mereka disebut-sebut tidak lagi dicalonkan untuk PRU kali ini.Memetik sumber yang tidak didedahkan, Sinar Online mendakwa jentera pilihan raya PAS Tumpat enggan bergerak seperti yang sepatutnya.
Hal itu kerana penyandang kerusi berkenaan, Che Abdullah Mat Nawi, dipercayai tidak menjadi pilihan PAS untuk PRU akan datang, sebaliknya mahu mengetengahkan muka baru.
Kata sumber itu lagi, mereka juga diberitahu anak Kelantan di perantauan juga keberatan untuk pulang mengundi pada 19 Nov selepas dimaklumkan Che Abdullah mungkin tidak diturunkan.
Dakwa sumber itu lagi mereka tidak akan berbuat demikian - seperti kelaziman sebelum ini - jika PAS Kelantan gagal mengatasi kemelut tersebut.
"Biasanya petugas parti akan terus bersemangat sebaik sahaja parlimen dibubarkan, namun 'aura' itu semakin padam selepas nama Che Lah (Che Abdullah) dikatakan tidak tersenarai sebagai calon," katanya.
Che Abdullah pernah dilantik ke jawatan penting dalam PAS Kelantan termasuk sebagai setiausaha perhubungan negeri dan exco Kelantan.
Selepas PH dijatuhkan melalui Langkah Sheraton, dia dilantik menjadi timbalan menteri pertanian dan industri makanan. Bagaimanapun dia tergugur apabila jawatan perdana menteri bertukar daripada Muhyiddin Yassin kepada Ismail Sabri Yaakob.
Che Abdullah memenangi kerusi parlimen Tumpat dengan kelebihan 17,500 undi pada 2018 dengan mengetepikan pencabar dari BN dan Bersatu/PH.
Kata sumber itu lagi, mereka difahamkan PAS Kelantan mahu membawa calon dari luar untuk menggantikan Che Abdullah dan langkah tersebut "membingungkan" mereka.
"Ingat, Tumpat adalah salah satu deposit tetap PAS di Kelantan.
"Kalau mahu BN menawan Tumpat, silakan gugur nama Che Lah dan kami istiqamah dengan keputusan tidak akan bekerja untuk parti serta (enggan) keluar mengundi," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.