Saturday, November 5, 2022

Perang PRU di Perak diramal dahsyat

freemalaysiatoday.com
Nora Mahpar
-November 5, 2022 11:00 AM
Antara calon yang bertanding di kerusi Perak pada PRU15 termasuk Presiden PKR Anwar Ibrahim (Parlimen Tambun), Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin (Parlimen Larut) dan Presiden Umno (Parlimen Bagan Datuk).

TAIPING: Perak mendapat perhatian istimewa pada pilihan raya umum (PRU) kali ini kerana pertandingan di Darul Ridzuan itu bakal menentukan nasib watak-watak terkenal, sekaligus mencorak landskap politik masa depan.

Malah sebelum Anwar Ibrahim mengumumkan bertanding di Tambun, diketahui Perak menyajikan nama-nama besar seperti Hamzah Zainudin (Larut) dan Idris Ahmad (Bagan Serai); Ngeh Koo Ham (Beruas) dan sepupunya, Nga Kor Ming (Teluk Intan); di samping Ahmad Zahid Hamidi (Bagan Datuk), Mah Hang Soon (Tanjung Malim), dan SA Vigneswaran (Sungai Siput).

Pertembungan di Perak dijangka tidak rumit kerana ketika laporan ini ditulis, tidak kedengaran akar umbi tidak berpuas hati apabila “orang lama”, seperti Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), tidak masuk senarai calon. Di sini, ketegasan pucuk pimpinan parti-parti bertanding memuktamadkan senarai jaguh membuahkan hasil.

“Tanpa ancaman sabotaj, pertandingan di Perak umumnya akan dibentuk oleh peratus pengundi tempatan yang keluar mengundi, pengundi luar Perak yang pulang mengundi, dan sama ada isu nasional atau tempatan menguasai sentimen pengundi,” kata penganalisis politik Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia.

“Naratif agama dan kaum dijangka akan lebih menonjol di Perak Utara, di mana pengundi berketurunan Melayu membentuk majoriti. Di Perak Tengah, yang mempunyai komposisi pengundi berketurunan Cina yang ramai, isu tadbir urus dan keadilan pembahagian ekonomi akan lebih penting.

“Di kawasan seperti Sungai Siput yang mempunyai ramai pengundi berketurunan India, parti politik akan perlu mengedepankan isu pembelaan ekonomi golongan terpinggir.”

Kehadiran lebih ramai pengundi baharu kali ini juga bakal menambah ketidaktentuan dan kepelbagaian gaya kempen parti-parti politik, tambahnya.

Persaingan dijangka sengit di empat kerusi Parlimen yang mempunyai kelebihan undi yang kecil, iaitu Bagan Serai (majoriti 172 undi), Tapah (614), Lumut (400), Kuala Kangsar (731).

Angka “korban” akan lebih dahsyat di peringkat DUN, membabitkan 12 kerusi iaitu Selama (289), Kubu Gajah (180), Selinsing (97), Chenderiang (39), Changkat Jong (67), Titi Serong (140), Kuala Sepetang (329), Lubok Merbau (409), Bukit Chandan (464), Manong (571), Hutan Melintang (741), dan Behrang (409).

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-