Sunday, November 27, 2022

Perikatan Nasional sedia beri kerusi MB kepada UMNO, tapi…

agendaily.com
27/11/2022
Perikatan Nasional menguasai 17 kerusi Dewan Undangan Negeri Pahang; Barisan Nasional (16) dan Pakatan Harapan (lapan).

Perikatan Nasional Pahang sedia bertolak ansur dengan menyerahkan jawatan Menteri Besar (MB) kepada UMNO dalam usaha merealisasikan pembentukan kerajaan negeri dengan kerjasama Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata BN perlu memenuhi beberapa syarat dan tuntutan seiring dengan kekuatan Perikatan Nasional yang menang 17 kerusi berbanding BN (16 kerusi) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, antara tuntutan ialah tiga daripada lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik diberikan kepada Perikatan Nasional, jumlah kerusi Exco yang sama dan jawatan speaker DUN.

“Saya yakin Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili BN Pahang mungkin akan mempertimbangkan syarat kita yang ingin dibuktikan di Pahang.

“Insya-Allah sinar harapan itu ada di mana-mana. Perikatan Nasional Pahang bersedia berkompromi sebagai model penyatuan ummah dan Pahang dijadikan model,” kata Tuan Ibrahim menurut Kosmo.

“Oleh itu permuafakatan politik Perikatan Nasional dan BN dalam Muafakat Nasional merupakan jalan terbaik demi perpaduan ummah dan kestabilan di negeri ini.

“Perikatan Nasional bersedia bertolak ansur menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada BN walaupun kita menang lebih satu kerusi yang diberi mandat oleh pengundi,” kata Tuan Ibrahim yang juga ADUN Cheka.

Di Pahang, Perikatan Nasional mempunyai 17 kerusi DUN, BN (16 kerusi) dan PH (lapan kerusi), dengan PRU-15 DUN Tioman bakal diadakan pada 7 Disember setelah ditangguh berikutan kematian calon Perikatan Nasional pada 19 November lalu.

DUN Pahang tergantung selepas keputusan PRU-15 menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional Pahang, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendedahkan sikap tamak BN kerana mahu membolot jawatan MB dan tujuh kerusi Exco.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata parti yang mendapat mandat terbesar daripada rakyat Pahang ialah Perikatan Nasional, justeru, ia menggambarkan kehendak rakyat dan harus dihormati.

Menurut beliau sejak awal, Perikatan Nasional sedia berunding untuk membentuk kerajaan Pahang tetapi bukan dengan Pakatan Harapan yang membawa agenda yang bertentangan dengan kepentingan rakyat.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-