Monday, December 19, 2022

Adakah UMNO akan menerima nasib seperti USNO?

utusantv.com
Oleh Ahmad Abd Hamid
-December 19, 2022
ADAKAH UMNO akan terus relevan kepada rakyat selepas kekalahan teruknya dalam PRU-15 baru-baru ini?

PERTUBUHAN Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) hampir sama bunyinya dengan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Kedua-duanya menggunakan nama bahasa Inggeris – United Sabah National Organisation dan United Malays National Organisation.

Bezanya USNO parti berteraskan Sabah, sementara UMNO peringkat nasional. Bagaimanapun UMNO telah mengembangkan sayap ke Sabah sejak 1991 dan kini merupakan komponen Barisan Nasional (BN) yang berkolobrasi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memerintah Sabah.

Bagai ada persamaan nasib USNO dan UMNO. Ditakdirkan kedua-dua parti ini melalui era suram dalam arena politik tanah air. Kesuraman ini telah dirasai lebih awal oleh USNO yang dipimpin oleh Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Setelah lama mentadbir Sabah, kerajaan USNO tumbang kepada parti Berjaya pimpinan bekas Setiausaha Agung USNO sendiri, Datuk Harris Salleh pada pilihan raya tahun 1976. Berjaya memerintah hingga 1985. Selepas tewas pada 1976, USNO terus tenggelam. Ia bertanding dalam beberapa pilihan raya negeri berikutnya namun gagal kembali berkuasa.

USNO yang sudah tenat kemudian dibubarkan bagi memberi laluan kemasukan UMNO ke Sabah pada 1990. Pengasas USNO, Tun Datu Mustaffa menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah pertama. Maka berkuburlah USNO.

Selepas beberapa tahun, USNO-Baru, juga dikenali sebagai USNO 2013, ditubuhkan. Matlamatnya untuk menghidupkan kembali perjuangan USNO Sabah. Namun parti pimpinan bekas Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia ini tidak mampu bersinar seperti zaman kegemilangannya.

Begitulah nasib sebuah parti yang pernah unggul mentadbir Sabah. Tidak diduga parti ulung di Negeri Bawah Bayu ini, akhirnya tersingkir dari arus utama politik selaras perubahan masa.

Inilah nasib yang sedang dilalui UMNO. Sebagai parti komponen teras BN, UMNO menjadi parti dominan menerajui pemerintahan negara selama enam dekad. Tidak pernah terbayang dalam minda ia akan kecundang.

Bermula di PRU-14

Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 mengubah segala-galanya. Kejutan tidak diduga berlaku. BN tumpas di tangan Pakatan Harapan (PH) yang berjaya membentuk kerajaan, dengan dokongan Bersatu, PKR, Amanah dan DAP.

Apa yang pernah menimpa USNO ditanggung pula oleh UMNO. Mungkinkah ini kerana sikap sambil lewa setelah enam dekad berkuasa sehingga wujud unsur over confident bahawa UMNO tidak mungkin tewas? Itu perkiraan UMNO, tetapi berlainan pula perkiraan rakyat yang mahukan perubahan.

Pada PRU-14, BN hanya menang 79 kerusi. Bagi UMNO sendiri, ia menang 54 kerusi. Ketika ini sudah dapat dirasai UMNO berada di ambang kejatuhan. Satu tragedi untuk parti keramat itu. Tidak mudah untuk parti itu bangkit kembali memandangkan senario politik tanah air sudah berubah.

Namun dalam keadaan begini pun, UMNO dilihat tidak sedia berubah atau mengambil iktibar untuk memperkukuh parti. Ia masih berada pada tahap lama serta tidak sensitif dengan perubahan politik. UMNO tidak mahu membuat reformasi parti itu berdasar keperluan semasa.

Contohnya, pada pemilihan pucuk pimpinan parti selepas PRU-14, wajah sama yang membawa kekalahan kepada UMNO masih terpilih menerajui parti walau pun ada calon yang lebih muda dan bertenaga menawarkan diri. Jelas ahli UMNO sendiri tidak mahu perubahan.

Malah dalam pemilihan parti akan datang, kira-kira enam bulan dari sekarang, sudah timbul gesaan agar dua jawatan utama iaitu presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan. Kenapa bagitu? Biarlah ahli memilih pemimpin yang mereka mahu, jangan disekat.

UMNO sedikit bernafas apabila Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilantik menjadi Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yaasin. UMNO berharap ini akan jadi pemangkin mengembalikan kuasa UMNO secara dominan.

Ismail Sabri mewujudkan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pembangkang bagi memastikan kestabilan kerajaan. Namun wujud pelbagai desakan dalaman daripada pimpinan parti. Ini termasuk diadakan segera PRU-15 sekali pun tempuh tamat penggal Parlimen hanya berakhir pada Mei 2023. Ismail Sabri terpaksa akur.

Ketika membubarkan Parlimen, para pemimpin UMNO mendapat semangat daripada kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor. UMNO yakin akan mengulangi kejayaan sama dalam PRU-15 walaupun PRN dan PRU tidak sama.

Bagi UMNO, momentum sokongan mesti digunakan sepenuhnya. Ketika ‘besi masih panas’ perlu bertindak mematahkan lawan. Jangan tunggu ‘besi sejuk’ baru mengorak langkah.

Maka bertarunglah UMNO dalam gelanggang PRU-15 dengan keyakinan akan muncul parti dominan dan membentuk kerajaan secara bersendirian. Ia sangat yakin tiada lagi tsunami politik seperti PRU-14 dan UMNO serta BN kembali berkuasa.

Apa yang berlaku adalah sejarah. Prestasi PRU-15 lebih buruk daripada PRU-14. Kerusi dimenangi BN merosot teruk kepada hanya 30 kerusi. UMNO hanya menang 26 kerusi.

UMNO juga kehilangan Perlis sementara kerusi di beberapa negeri seperti Pahang dan Perak banyak jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN). Mujurlah UMNO masih ada rezeki menumpang Kerajaan Perpaduan untuk mentadbir negara.

Ramai beranggapan antara faktor kekalahan besar ialah latar belakang pemimpin yang dilihat ada liabiliti sehingga menjejaskan reputasi parti. Selain itu, pengguguran calon yang dianggap tidak sehaluan dengan Presiden juga menjadi punca.

Timbul rasa tidak puas hati yang menggunung sehingga ada calon seperti Datuk Seri Shahidan Kassim yang digugurkan di Arau bertanding sebagai calon PN. Dia bukan sahaja menang tetapi membantu menghadiahkan Perlis ke tangan PN. Di Maran, seorang lagi tokoh UMNO, Datuk Ismail Muttalib yang juga bertanding atas tiket PN turut menang.

Justeru terdapat andaian kemenangan PN meraih sehingga 73 kerusi dibantu oleh faktor undi protes ahli terhadap kepimpinan UMNO. Namun realitinya ialah kebangkitan mendadak PN yang terasnya diterajui Bersatu dan Pas. Hakikat ini perlu diakui.

Sementara PN menyinar, UMNO dan BN terus malap. Jika prestadi PRU-14 dan kemerosotan berterusan pada PRU-15 boleh dijadikan kayu ukur, rasanya UMNO sukar untuk kembali dominan. Jika ada revamp pun mungkin sudah dianggap terlambat.

Senario politik semakin berubah. Jumlah pengundi remaja dan dewasa makin bertambah. Mereka ada kecenderungan sendiri dan tidak bernostalgik terhadap UMNO seperti ibu bapa atau datuk nenek mereka.

Justeru masih adakah esok untuk UMNO? Atau adakah ia akan terus menjadi parti yang menumpang ihsan untuk berkuasa? Atau mungkinkah UMNO akan menerima nasib seperti USNO?

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-