Saturday, December 3, 2022

Kebolehpindahan undi BN, PH

agendaily.com
3/12/2022
Bolehkan undi berpindah dalam kalangan 'teman sebilik yang pelik'?

Tulisan saya ini berkait dengan perkembangan mutakhir politik berhubung kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan campuran yang diterajui oleh PH.

Ada pihak yang mengatakan kerjasama BN-PH ini akan menguntungkan kedua-dua parti untuk jangkamasa panjang kerana kedua-duanya bersaing di kawasan pengundi yang berbeza.

BN-UMNO lebih tertumpu di kawasan majoriti Melayu luar bandar dan separa bandar, manakala PH lebih tertumpu di kawasan majoriti bukan Melayu dan kawasan campuran di bandar.

Dalam konteks ini, pemahaman secara mudahnya ialah tidak akan berlaku perebutan pengundi antara BN dan PH di kawasan tumpuan masing-masing. Malah penyokong PH di luar bandar akan memindahkan undi mereka kepada BN, manakala penyokong BN di bandar akan memindahkan undi mereka kepada PH.

Hasilnya, kedua-dua parti akan mendapat keuntungan jangka panjang daripada kerjasama ini, walaupun di peringkat awalnya ia kelihatan seperti hubungan kahwin paksa.

Berbeza sekiranya BN bekerjasama dengan Perikatan Nasional. Kedua-dua parti ini bersaing merebut sokongan pengundi di kawasan yang sama. Salah satu parti mesti mengalah sekiranya ingin bekerjasama.

Tetapi dalam politik apa yang dilihat oleh pandangan mata kasar tidak semestinya benar. Satu campur satu dalam politik jawapannya tidak semestinya dua. Ia boleh jadi kosong.

Untuk memahaminya, kita mesti kaji persoalan sama ada wujud atau tidak “vote transferability” atau kebolehpindahan undi antara BN dan PH. Secara mudahnya, adakah penyokong BN akan secara automatik menyokong PH, atau sebaliknya, apabila kedua-dua parti ini bekerjasama?

Kebetulan dalam siri kajian yang dilaksanakan oleh kumpulan penyelidik saya sebelum PRU-15, kami bertanyakan soalan mengenai “vote transferibility”. Kajian nasional yang dilaksanakan pada Jun 2022 mendapati hanya 1/3 penyokong kedua-dua parti bersetuju kerjasama diadakan antara BN dan PH dalam PRU-15. Ini bermakna, 2/3 lagi tidak bersetuju.

Dengan kata lain, hampir tidak wujud ‘vote transferability’ antara kedua-dua parti. Penolakan dalam kalangan penyokong parti lebih besar daripada penerimaan.

Barangkali atas sebab inilah pemimpin BN dan PH menafikan sekeras-kerasnya akan dakwaan adanya persefahaman antara kedua-dua parti tersebut untuk bekerjasama selepas PRU-15. Jika perkara ini diketahui pengundi, kedua-dua parti berkemungkinan akan kehilangan sokongan yang lebih besar dalam pilihan raya.

Kini persoalan mengenai kerjasama antara kedua-dua parti telah terjawab. Memang benar ada perancangan awal antara pemimpin kedua-dua parti ini untuk bekerjasama selepas pilihan raya.

Jika dapatan kajian kami pada Jun 2022 tersebut masih sah, maka boleh diandaikan 2/3 penyokong kedua-dua parti tidak bersetuju dengan “perkahwinan paksa” antara BN dan PH. Jika dapatan ini benar, maka tidak mustahil kedua-dua parti akan mengalami hakisan sokongan dalam kalangan penyokong masing-masing.

Kemungkinan untuk BN mengalami hakisan sokongan yang lebih ketara berbanding PH adalah lebih besar kerana BN dilihat menjadi rakan kongsi minoriti dalam kerajaan pimpinan PH.

Penyokong PH mungkin lebih teruja dengan kerjasama ini kerana mereka mendapat laba politik yang lebih lumayan apabila pemimpin mereka berjaya menjadi Perdana Menteri.

Apatah lagi sekiranya pemimpin BN tidak dilantik menerajui portfolio yang penting dan utama dalam Kabinet Kerajaan Persekutuan yang bakal dibentuk, maka berkemungkinan ‘trust deficit’ yang lebih besar akan berlaku dalam kalangan penyokong tegar BN.

Apakah prospek jangka panjang hubungan BN-PH? Adakah kedua-dua parti akan kekal bahagia atau seperti kata orang putih ‘will be happy ever after’?

Saya tidak ada sebarang data terkini untuk menyokong apa-apa pandangan mengenainya, melainkan data ‘historical’ hubungan Bersatu-PH jika boleh dijadikan panduan.

Sebelum PRU-14, Bersatu berjaya membawa sekurang-kurangnya 25 peratus sokongan Melayu kepada PH. Ini antara lain disebabkan oleh gandingan Tun Dr Mahathir Mohamad – Tan Sri Muhyiddin Yassin – Datuk Seri Mukhriz Mahathir – atau 3M dalam Bersatu yang memberi keyakinan kepada sebahagian orang Melayu untuk menyokong PH.

Pada masa yang sama, UMNO sedang mengalami ‘trust deficit’ yang agak parah akibat skandal 1MDB.

Dengan sokongan 25 peratus pengundi Melayu (di sesetengah tempat mencecah 30 peratus) dan 90 peratus sokongan pengundi Cina, PH berjaya memenangi semua kerusi majoriti bukan Melayu, kerusi campuran dan sebahagian besar kerusi majoriti kecil Melayu dalam PRU-14 sehingga berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Namun, tidak berapa lama selepas membentuk kerajaan, sokongan pengundi Melayu kepada PH semakin menurun. Ini disebabkan oleh polisi PH dalam beberapa isu yang menyentuh sensitiviti kaum dan agama sehingga menyebabkan rasa tidak senang hati dalam kalangan pengundi, terutamanya pengundi Melayu.

Di suatu ketika, sokongan pengundi Melayu kepada Bersatu telah menurun di bawah paras 10 peratus. Akibatnya, calon Bersatu kalah dalam PRK Semenyih dan Tanjung Piai. Kedua-duanya adalah kawasan majoriti kecil Melayu yang sepatutnya merupakan kerusi “ideal” untuk PH. Dalam kedua-dua PRK ini, sokongan pengundi Cina kepada PH juga menurun.

Kehakisan sokongan pengundi Melayu secara berterusan kepada Bersatu, selain tekanan-tekanan lain yang dihadapi oleh Bersatu dalam kerajaan PH, telah mencetuskan suatu ‘trigger point’ sehingga akhirnya Bersatu memutuskan untuk meninggalkan PH.

Dalam satu pertemuan pimpinan Bersatu bersama Dr Mahathir yang saya hadir sejurus sebelum Bersatu membuat keputusan untuk keluar PH, saya katakan kepada Dr Mahathir:

“Tun, based on my findings, Bersatu will be wiped out in the next general election if we don’t leave PH. I am afraid to say that even you will lose in Langkawi”.

Tun jawab balik kepada saya, “Kenapa kita nak keluar PH? Guan Eng sokong kuat saya. Gobind sokong kuat saya.”

Saya terdiam mendengar jawapan Tun. ‘But, the rest is history’.

Saya tidak mengatakan keadaan yang sama akan dihadapi oleh BN dan PH. Mungkin Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai keupayaan “magik” yang luar biasa berbanding Dr Mahathir untuk mengurus perbezaan dan kepelbagaian dalam kerajaan yang dianggotai oleh “strage bedfellows”. Atau, mungkin UMNO lebih handal daripada Bersatu dalam mengurus DAP.

Apa pun, kita tunggu dan lihat.

Datuk Dr Marzuki Mohamad
Bekas Ketua Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri Kelapan.


Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Agenda Daily. Segala risiko akibat penyiaran artikel ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-