Wednesday, January 11, 2023

Sah UMNO, PH disertai DAP bekerjasama hadapi PRN

agendaily.com
11/01/2023
UMNO akan bekerjasama dengan DAP menghadapi PRN di enam negeri tahun ini.

UMNO mengesahkan akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH), termasuk DAP, menghadapi enam pilihan raya negeri (PRN) dalam tempoh beberapa bulan akan datang, namun memilih untuk kekal menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

Ini bermakna kedua-dua gabungan yang membentuk Kerajaan Pusat itu akan masing-masing berdepan satu lawan satu dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sejumlah 245 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipertandingkan dalam PRN itu iaitu 56 kerusi di Selangor; Kelantan (45); Pulau Pinang (40) Negeri Sembilan dan Kedah masing-masing 36 kerusi; dan Terengganu (32)

Perancangan itu sekali gus menunjukkan UMNO tidak akan meletakkan calon di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi PH, dan jenteranya akan diguna untuk membantu calon PH. Demikian juga sebaliknya, PH akan membantu calon UMNO.

Kerjasama kedua-dua gabungan itu adalah antara disentuh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi melalui melalui Taklimat Presiden UMNO di hadapan lebih 3,000 perwakilan parti itu yang berlangsung secara tertutup di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini (11 Januari 2023).

Ia disahkan Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil,yang dilaporkan berkata persediaan UMNO berdepan enam PRN itu antara isu utama disentuh Zahid dalam sesi taklimat berlangsung kira-kira sejam itu.

Memetik BH beliau berkata Zahid turut menekankan pentingnya ahli dan pimpinan parti mengekalkan perpaduan dan solidariti untuk memastikan UMNO dapat bersedia sepenuhnya berdepan PRN itu.

Taklimat itu diadakan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) yang membuka tirainya dengan perasmian serentak persidangan tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri sehingga Sabtu ini.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dilaporkan berkata, Zahid menggesa ahli parti untuk bersikap optimistik bagi berdepan enam PRN yang perlu diadakan selewat-lewatnya pertengahan tahun ini.

Selain itu, katanya, Presiden UMNO itu juga menyentuh mengenai kepentingan kerjasama antara BN dan PH.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-