Sunday, January 15, 2023

Sanusi: 'Tsunami hijau' PN akan terus melanda kerana mulut besar Rafizi

malaysiakini.com
Diterbitkan: Jan 15, 2023 9:06 PM
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memberi amaran bahawa satu lagi "tsunami hijau" akan melanda negara semasa enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang, dan ia sebahagian besarnya adalah kerana “mulut besar” Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli.

Dia berkata demikian sebagai menjawab dakwaan Rafizi bahawa lonjakan sokongan kepada PN semasa pilihan raya umum (PRU) ke-15 adalah disebabkan retorik perkauman dan politik wang.

Rafizi mendakwa dalam dialog dengan ahli PKR Pulau Pinang dan Kedah malam tadi, bahawa ia telah membawa kepada perubahan 70 hingga 80 peratus dalam pengundi Melayu di Kedah.

"PN mencetuskan ekstremisme perkauman untuk menyebabkan peralihan yang begitu besar. Ini lebih membimbangkan saya.

"Corak pengundian Melayu dahulunya seimbang. Sebelum ini, marginnya sempit. Buat pertama kali, ia seluas ini. Kita perlu atasi trend berbahaya ini.

“Kita tiada ‘peluru perak’ atau pil ajaib untuk capai kemenangan. Segelintir antara kita terpaksa akui, ia berpunca daripada kelemahan kita,” katanya seperti dipetik FMT.

Rafizi, yang juga menteri ekonomi, turut menolak bahawa kelebihan PN adalah disebabkan kempen berkesan di Tiktok.

“(Mereka menang kerana) faktor wang, bukan TikTok. Di kampung halaman saya di Terengganu, saya dengar cerita orang minta duit mana sahaja mereka pergi. Kenduri juga dibuat di mana-mana. Ini faktor-faktor yang mempengaruhi kemenangan PN,” katanya.

Bagaimanapun, Rafizi berkata kempen berasaskan wang tidak mampan, dan dia menjangkakan PAS akan mula mengutip derma semula.

Menjawab dakwaan itu, Sanusi hari ini menuduh Rafizi menghina pengundi dengan menganggap mereka "tidak bijak" dan naif.

Pengarah pilihan raya PAS itu menafikan tanggapan bahawa pengundi yang menolak Pakatan Harapan (PH) dan BN terpengaruh dengan wang atau makan malam mewah.

Dia menambah bahawa PAS tidak mempunyai hartawan menaja mereka sehingga mereka mampu menaiki helikopter seperti calon presiden AS, sindiran yang disasarkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang pernah menggunakan helikopter semasa tempoh kempen PRU.

Sanusi turut membidas Rafizi kerana menjadi rakan kongsi "raja politik wang" merujuk kepada kerjasama PH dan BN membentuk kerajaan bersama.

Sanusi kemudian memberi amaran bahawa Rafizi - serta kegagalan kerajaan menguruskan kos barangan seperti petrol, telur, dan ayam, mungkin akan mencetuskan "tsunami hijau" yang lebih besar.

“Tsunami hijau orang Melayu pada PRU-15 akan terus membesar sehari demi sehari setiap kali Rafizi membuka mulut besar beliau.

"Orang ramai sudah tahu prestasi sebenar beliau di sebalik ucapan-ucapan kempen PRU-15 yang kini memakan diri sendiri. Saya sebetulnya sangat berharap dia terus bercakap seperti itu.

"Kalau dia rasa dia sangat bijak, dia juga perlu sedar orang lain juga tidak bodoh," katanya.

"Tsunami hijau" menyaksikan gabungan PN yang dianggotai PAS memperoleh kemenangan besar di seluruh semenanjung, terutamanya di utara dan timur.

PN memenangi semua kerusi parlimen di Kelantan, Terengganu, dan Perlis. PN juga menguasai 14 daripada 15 kerusi parlimen Kedah.

Kedah, Kelantan, dan Terengganu adalah antara enam negeri yang masih belum mengadakan PRN. Tiga negeri lain ialah Selangor, Negeri Sembilan, dan Pulau Pinang.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-