Sunday, January 8, 2023

Sukar kikis imej 'gila kuasa' jika UMNO asyik berkomplot

bharian.com.my
Oleh Mohd Anwar Patho Rohman 
wananwar@bh.com.my
Januari 8, 2023
Gambar fail, Perhimpunan Agung UMNO. - Foto Arkib NSTP

Menjelang Perhimpunan Agung UMNO minggu ini, aura dan keghairahan suasana perkumpulan orang UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC) sangat berbeza selepas Barisan Nasional (BN) tumbang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Boleh dikatakan apabila BN tidak lagi menjadi kerajaan Pusat selepas 2018, semangat kemelayuan pada perhimpunan UMNO agak hambar walaupun pucuk kepemimpinan parti berusaha menaikkan kembali jiwa orang UMNO yang agak murung ketika itu.

Atas semangat mahu bangkit kembali untuk menghadapi PRU15, UMNO gigih melakukan pembaharuan, transformasi, meningkatkan aktiviti perkaderan ahli baharu, mengadakan pelbagai kem bina dan pulih semangat serta merancang pelbagai strategi bagi menarik kembali sokongan rakyat kepada parti itu.

Usaha dilakukan UMNO itu membuahkan hasil apabila beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) pasca PRU14 menunjukkan pengundi mula kembali menyokong BN dan parti itu. Kemuncaknya boleh dilihat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor apabila BN menang majoriti selesa.

Keputusan diperoleh BN pada dua PRN itu menjadi tonik baharu kepada UMNO untuk kembali bangkit bagi mendepani cabaran PRU15 dalam misi untuk menakluk kembali persada kerajaan Pusat.

Namun, impian UMNO itu berkecai apabila BN sekadar menang 30 kerusi dan UMNO sekadar menang 28 kerusi. Ketua Penerangan UMNO, Isham Jalil mendakwa antara punca kekalahan BN dan UMNO itu disebabkan parti lawan khasnya Perikatan Nasional (PN) merasuah pengundi dan dakwaan ini tidak dinafikan pimpinan PN.

Bekas calon BN bagi Parlimen Shah Alam itu turut mendakwa, UMNO tewas selepas dilabel sebagai parti mengamalkan rasuah oleh PN yang katanya secara terang-terangan merasuah pengundi.

Katanya, sepanjang 60 tahun menjadi parti dominan, UMNO sering menjadi sasaran diserang dengan isu rasuah sehingga ideologi itu berjaya ditanam dalam fikiran orang ramai. Atas faktor itu, beliau menegaskan UMNO kena membuang stigma negatif selain perlu melakukan pembaharuan selain bermuhasabah.

Ironinya, UMNO sebenarnya turut dibayangi sebagai parti tamak kuasa terutama jika melihat kepada gerakan disertai parti itu bersama parti lain termasuk lawan yang mana ia dapat dilihat menerusi Langkah Sheraton, disusuli langkah menumbangkan kerajaan campuran diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021.

Persepsi itu masih melekat pada pemikiran rakyat walaupun pada hakikatnya bukan UMNO saja parti terbabit dalam gerakan itu kerana kerajaan tertubuh selepas itu yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut disertai PAS dan wakil BERSATU. Namun disebabkan propaganda bertali arus dimainkan musuh UMNO, maka imej negatif itu tidak dapat lari daripada parti berkenaan.

Pasca PRU15, rakyat termasuk orang UMNO turut keliru dengan pendirian parti itu apabila menjadi sebahagian daripada parti membentuk Kerajaan Perpaduan walaupun hakikatnya, keputusan itu dibuat kerana akur dengan titah nasihat Yang di-Pertuan Agong.

Masih tidak terima hakikat

Namun sehingga hari ini, masih ada orang UMNO yang tidak dapat menerima hakikat parti yang disertainya itu sanggup mengorbankan prinsip perjuangannya dengan bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan.

Sekali lagi, keputusan UMNO ini terus menjerut parti kerana bagi ahli UMNO totok, tindakan diambil ini dilihat melanggar sumpah dan janji 'No Anwar, No DAP' yang disepakati pada Perhimpunan Agung UMNO sebelum PRU15.

Bermakna, isu seumpama ini antara perkara perlu diberikan perhatian perwakilan serta pucuk pimpinan parti pada Perhimpunan Agung UMNO bermula Jumaat ini, bagi meredakan dan memberi kefahaman kepada ahli akar umbi mengapakah keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan dibuat.

Akan tetapi, belum sempat UMNO hendak menarik nafas bagi meredakan sentimen dan persepsi negatif ini, pemimpin UMNO Sabah pula melakukan Langkah Kinabalu bagi menumbangkan kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

UMNO dan BN Sabah pada Jumaat menamatkan kerjasama membentuk kerajaan negeri Sabah yang dimeterai sejak PRN pada September 2020, sekali gus menggugat kestabilan politik di Sabah.

Keputusan dan tindak-tanduk pemimpin UMNO dan BN di Sabah ini seolah-olah mengesahkan lagi persepsi rakyat yang 'orang UMNO' ini 'gila kuasa' walaupun
gerakan itu turut disokong Parti Warisan (WARISAN).

Tingkah-laku seumpama ini sebenarnya menyukarkan lagi usaha UMNO melakukan pembaharuan dan pemulihan serta membersihkan imej parti, selain boleh dijadikan
'peluru hidup' musuhnya untuk terus melemahkan pengaruh UMNO terutama pada PRN di enam negeri nanti.

'Kenakalan' sikap pemimpin UMNO ini yang sebenarnya menjatuhkan semangat 'orang UMNO' untuk memulihkan parti. Ketika ada pemimpin UMNO mahu melakukan pembaharuan dan pemulihan imej, ada pula pemimpin yang 'menconteng arang' pada
batang tubuh UMNO itu sendiri.

Amalan politik tidak sihat seperti inilah yang mungkin menjadi penyebab orang ramai enggan menyokong UMNO selain menyebabkan 'orang UMNO' sendiri 'letih' untuk menjawab dan mempertahankan parti daripada diperlekehkan musuhnya.

Perkembangan yang berlaku ini pasti menyukarkan iltizam dan misi Isham untuk melakukan transformasi bagi menjadikan UMNO kembali diterima serta disokong rakyat pada PRN nanti serta PRU16, terutama dalam kalangan pengundi yang tidak menjadi ahli kepada mana-mana parti politik.

Penulis adalah Penolong Pengarang Berita BH

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

ANDA JUGA INGIN MEMBACA INI :-